TUJUH petinju negara berada di Thailand bagi melakukan persiapan sebelum beraksi di Sukan Sea Kemboja, 5 hingga 17 Mei depan.
Presiden Persekutuan Tinju Amatur Malaysia (PTAM), Datuk Mohd Iruan Zulkifli berkata, latihan intensif selama 40 hari itu penting bagi petinju negara, menjalani latihan jauh dari gangguan selain mengambil bahagian dalam beberapa perlawanan yang diatur jurulatih.
Beliau menegaskan, latihan selama 40 hari itu memadai buat atlet negara kerana mereka akan memberi tumpuan sepenuhnya tanpa sebarang gangguan dan mampu memberi nilai tambah untuk memburu pingat di Kemboja nanti.
“Kesemua tujuh atlet yang akan menggalas tugas di Kemboja nanti, berkampung di Thailand untuk menjalani latihan fasa akhir. Mereka semua akan kekal di negara gajah putih itu dan terus berlepas ke Kemboja untuk menyertai kontinjen Sukan Sea negara.
“Selain latihan biasa, mereka juga akan didedahkan dengan beberapa ujian sepanjang berada di sana. Ini adalah peluang yang baik buat petinju negara untuk mencapai tahap prestasi terbaik sebelum ke Kemboja nanti,” katanya, ketika ditemui di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil.
Ditanya mengenai peluang petinju negara di Kemboja, Iruan yakin atlet negara mampu mara ke final sekali gus membawa pulang pingat buat kontinjen Malaysia.
“Saya meletakkan sepenuh keyakinan kepada atlet negara yang terpilih. Saya yakin sekurang-kurangnya tiga atlet negara mampu ke final,” katanya.
Dalam sesi pemilihan dibuat, PTAM membariskan atlet terbaik mereka iaitu Jackson Chambai Ikeh, Muhammad Abdul Qaiyum, Daeloniel Mcdelon Bong, Muhammad Ridzuan Johari Mohamad Akram Rasit, Mohamed Aswan Che Azmi dan Indran Rama Krishnan.