MAJORITI atlet terjun yang menggalas cabaran di Sukan Sea Kemboja, 5 hingga 17 Mei depan, mampu menghadiahkan pingat kepada kontinjen negara, sekali gus mempertahankan reputasi negara sebagai kuasa terjun Asia Tenggara.

Pada edisi lalu di Hanoi, Vietnam tahun lalu, skuad terjun menyapu bersih lapan emas yang ditawarkan, selain membawa pulang tiga perak dan satu gangsa.

Senario berbeza kali ini apabila Persekutan Renang Malaysia (MS) mempertaruhkan enam penerjun pelapis pada temasya dwitahunan itu dan hanya menyandarkan harapan kepada dua penerjun elit iaitu Muhammad Syafiq Puteh dan Gabriel Gilbert Daim.

Pengurus skuad terjun ke Sukan Sea Kemboja, Vivian Ong optimis dengan prestasi penerjun pelapis pada Kejohanan Terjun Kumpulan Umur Jemputan Malaysia ke-58 (MIAG) 2023 di Bukit Jalil, minggu lalu.

Pengurus pasukan terjun, Vivian Ong berkata, keputusan mereka menghantar barisan atlet muda kerana menyahut cabaran Majlis Olimpik Malaysia dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam mempersiapkan atlet masa depan negara.

“Ini adalah pendedahan pertama skuad terjun muda merasai pertandingan di peringkat antarabangsa dan hanya dua penerjun elit.

“Bagaimanapun, kita meletakkan harapan cukup tinggi kepada atlet pelapis ini dan mereka menaiki podium pada temasya dwitahun itu.

“Kalau ikut sasaran awal, kita meletakkan sasaran sekurang-kurangnya tiga pingat emas, tiga perak dan dua gangsa,” katanya, dalam sidang media kontinjen Malaysia ke Sukan Sea.

Syafiq Puteh yang bersaing dengan atlet pelapis di Kejohanan Terjun Kumpulan Umur Jemputan Malaysia ke-58 (MIAG) 2023 di Bukit Jalil, minggu lalu.

Dalam pada itu, Syafiq Puteh yang meraih emas dalam acara 3 meter (m) papan anjal individu lelaki di Hanoi, Vietnam tahun lalu meletakkan kepercayaan tinggi kepada penerjun pelapis negara berikutan keputusan positif sewaktu menyertai Kejohanan Terjun Kumpulan Umur Jemputan Malaysia ke-58 (MIAG) 2023 di Bukit Jalil, minggu lalu.

“Berdasarkan persembahan di MIAG, saya yakin ke semua mereka ini mampu mempamerkan aksi terbaik dan membawa pulang pingat ke tanah air,” ujarnya.