PASUKAN bola tampar lelaki negara siap sedia mengibarkan cabaran apabila dijadual berlepas ke Sukan SEA Kemboja 2023 pada Isnin.

Pasukan ini akan diketuai oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Tampar Malaysia, Hanif Basri dan disokong oleh ketua jurulatih Shamsaimon Mohd Sharit dan kakitangan kejurulatihan muda yang berkaliber.

Pemain pula dipilih daripada Liga Bola Tampar Malaysia (MVL), Sooka Super Series Volleyball serta Sukma 2022 dan kebanyakannya berusia di bawah 23 tahun.

“Presiden dan ahli lembaga MAVA serta semua ahli gabungan negeri dan peminat bola tampar di Malaysia ingin mendoakan perjalanan pasukan dengan selamat dan semoga berjaya dan selamat maju jaya untuk perlawanan yang akan datang di Sukan Sea Kemboja 2023,” katanya kenyataan itu.

Malaysia diletakkan dalam Kumpulan B bersama Myanmar, Vietnam dan Thailand dan disasarkan meraih sekurang-kurangnya pingat gangsa edisi kali ini.

Kesemua perlawanan berlangsung di Stadium Olimpik Kebangsaan, Phnom Penh bermula 3 hingga 8 Mei 2023.