PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak bimbang dengan undian kumpulan acara bola sepak Sukan SEA Kemboja apabila Skuad Bawah 22 Tahun Kebangsaan diundi berada dalam kumpulan ‘maut’.

Acara bola sepak lelaki yang bakal berlangsung dari 5 hingga 17 Mei 2023 di Phnom Penh itu menyaksikan Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama-sama juara bertahan, Vietnam, Thailand, Singapura dan Laos manakala Kemboja, Indonesia, Myanmar dan Filipina melengkapkan Kumpulan A.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin memberitahu, beliau dan ketua jurulatih, E. Elavarasan tidak melihat undian itu sebagai sukar malah menganggap ianya adalah keputusan undian yang terbaik buat skuad Harimau Muda.

“Saya telah bertemu dengan Elavarasan pada Khamis dan kami berdua bersetuju ini adalah undian terbaik buat kami. Ini akan memberi peluang buat kita untuk bertemu lawan yang kuat lebih awal supaya kita dapat bertemu dengan pasukan yang dikatakan kurang kuat di peringkat seterusnya untuk layak ke final yang masih menjadi sasaran kami.

“Saya sudah menanam idea ini kepada para pemain yang lebih baik untuk kita bertemu pasukan yang kuat seperti Vietnam dan Thailand lebih awal,” katanya ketika ditemui pada Jumaat.

Hamidin juga menjelaskan perkara ini pernah berlaku semasa dia menjadi pengurus pasukan ketika Sukan SEA 2011 di Jakarta yang mana Malaysia diletakkan dalam kumpulan yang sama dengan Thailand dan Indonesia yang dianggap pasukan kuat ketika itu dan akhirnya Malaysia berjaya melepasi peringkat kumpulan seterusnya memenangi pingat emas.

Itu adalah kali terakhir Malaysia memenangi pingat emas acara bola sepak lelaki Sukan SEA dan pada edisi lepas di Hanoi, Malaysia gagal ke final apabila tewas kepada Vietnam 1-0 di separuh akhir.