DUO catur ouk chaktrang wanita negara mempamerkan aksi memberangsangkan apabila mencapai kemenangan pertama di temasya Sukan Sea Kemboja, hari ini selepas berjaya mencapai kemenangan ke atas Laos dalam pusingan awal round robin.
Dalam aksi doubles wanita hari ini, pemain negara Chua Jia Tien dan Nur Faiqah Aminuddin berjaya mencapai kemenangan 1-0 ke atas gandingan lawan, Houanchanamone Phonesavanh dan Inthavong Maly.
Jia Tien berjaya menang permainan pertama ke atas Phonesavanh namun sekadar seri pada permainan kedua, sementara Faiqah pula menang kedua-dua permainan ke atas Maly.
Justeru, mereka kini menduduki tangga keempat, liga round robin Kumpulan A selepas mengharungi empat perlawanan.
Pemain wanita negara itu sebelum ini seri dengan Thailand, tewas kepada Filipina dan Vietnam.
Justeru mereka berada di belakang Vietnam (teratas) dengan empat mata, Filipina kedua, Myanmar ketiga dan gandingan negara keempat, namun Malaysia, Filipina dan Myanmar kini berkongsi 2.5 mata.
Esok, double wanita negara akan menentang Kemboja dan Myanmar bagi melengkapkan aksi kumpulan A.