PEMAIN catur Xian Qi bakal menerima durian runtuh apabila Persatuan Xian Qi Malaysia menawarkan hadiah wang tunai RM50,000 kepada setiap pemenang pingat emas di temasya Sukan Sea Kemboja, bulan depan.

Pengurus Pasukan, Sek Kin Wai berkata, imbuhan itu ditawarkan bagi menaikkan semangat pemain supaya memburu kejayaan di temasya sukan serantau terbabit.

“Kita nak umum bahawa mana-mana atet kita yang menang emas dalam acara mereka, kita akan hadiahkan RM50,000 bagi setiap acara.

“Bagi acara berpasukan, mereka akan menerima RM50,000 untuk dikongsi,” kata Kin Wai, dalam sidang media persiapan pasukan catur Xian Qi ke Kemboja, di Majlis Sukan Negara (MSN).

Beliau berkata, kem negara menghantar penyertaan dalam empat acara iaitu Men’s Rapid Team, Men’s Blitz Team, Men’s Standard Single dan Women’s Standard Single.

Meskipun mensasarkan untuk sekurang-kurangnya mengulangi pencapaian di Hanoi, dua perak dan tiga gangsa, Kin Wai yakin pemain yang dihantar kali ini berpeluang membawa pulang pingat emas berdasarkan persiapan rapi pasukan.

Sim Yip How (kiri) menjadi harapan untuk menyinar di Kemboja. Demi menaikkan semangat atlet, Pengurus Pasukan Seck Kin Wai (tengah) mengumumkan imbuhan RM50,000 sekiranya membawa pulang pingat emas.

“Kita serius mahukan emas dan kita membayar jurulatih dari China, 40,000RMB (RM25,000). Jurulatih itu seorang pengulas terkemuka yang juga Grand Master iaitu Wang Bin,” katanya.

Menurut beliau, imbuhan yang ditawarkan itu akan dihulurkan syarikat tersenarai (Bursa Malaysia) yang bersetuju menyokong usaha kita.

Ujarnya lagi, sekurang-kurangnya dua pingat perak yang disasarkan di temasya Kemboja adalah menerusi acara Women Standard Single yang dimenangi Jee Xin Ru tahun lalu selain Men’s Blitz Team.

“Tahun lalu, kita menang dalam acara Women’s Standard Single dan Men’s Rapid Team menerusi dua atlet Sim Yip How dan Yeoh Thean Jern.

“Namun tahun ini kita sasarkan dalam acara Men’s Blitz Team menerusi dua atlet yang sama,” kata Kin Wai.

Yip How dan Thean Jern beraksi dalam acara rapid menyaksikan Men’s Blitz Team akan diwakili Thean Jern dan Tan Yu Huat.

Selain acara berpasukan, skuad negara juga menghantar dua wakil dalam acara single lelaki dan wanita.

Vietnam dan Singapura menjadi pencabar utama sukan catur Xian Qi ini dengan Vietnam menghuni ranking kedua dunia.