KETUA Jurulatih Harimau Malaya Bawah 22 Tahun , E. Elavarasan optimis dengan pasukannya menjelang Sukan SEA 2023 di Kemboja Mei ini.
Ia susulan undian pasukan negara yang berada bersama pasukan sengit bersama Vietnam, Thailand, Laos dan Singapura yang berlangsung pada Rabu.
“Satu undian yang menarik dan mencabar dalam masa yang sama selepas kami diundi bersama juara bertahan, Vietnam dan pasukan pilihan pertandingan seperti Thailand.
“Di sebalik pasukan negara harus realistik dengan keputusan undian tersebut, saya kekal optimis bahawa skuad Harimau Malaya B-22 memiliki potensi sama seperti pasukan-pasukan lain di mana kami juga memiliki keyakinan untuk turun dalam kejohanan Sukan SEA 2023 di Kemboja nanti.
“Fokus dan visi kami tidak akan berubah. Sudah pasti kami akan bersiap sedia untuk berdepan kumpulan sukar ini dan tugas saya sekarang adalah memastikan pasukan ini dalam keadaan bersedia,” ujarnya dalam satu kenyataan media.
Pasukan Malaysia bakal membuka aksi Kumpulan B bertemu Laos pada 3 Mei, Thailand (6 Mei), Vietnam (8 Mei) dan Singapura pada 11 Mei.
Sebagai rekod, pada temasya Sukan SEA di Hanoi 2022, skuad negara mara ke separuh akhir, namun tewas kepada tuan rumah Vietnam, 0-1.