HANYA menggunakan strategi yang tepat boleh bantu skuad gimnastik lelaki menghadiahkan pingat buat negara pada temasya Sukan SEA Kemboja yang akan bermula 5 Mei ini.
Biarpun tanpa skuad wanita selepas tuan rumah menggugurkan acara itu, jurulatih negara Ng Shu Wai berkata, dia yakin dengan kemampuan barisan atlet negara biarpun perlu berdepan cabaran juara dunia dari Filipina, Carlos Yulo.
“Saya yakin dan berani janji bahawa mereka akan bawa pulang pingat tapi warna itu masih belum pasti.
“Kita kena ada strategi yang tepat kerana kali ini tuan rumah menetapkan syarat bahawa seorang atlet yang boleh menyertai dua acara justeru jika strategi kita tepat saya yakin tiada masalah untuk bawa pulang pingat,” katanya.
Kehadiran Yulo sememangnya memberi impak kepada persaingan kerana bakat luar biasa yang dimiliki oleh atlet berusia 23 tahun yang meraih dua emas di Kejohanan Dunia pada 2019 dalam acara senaman lantai dan 2021 melombol.
Yulo juga begitu konsisten tahun ini apabila sudah memenangi tiga emas pada Siri Piala Dunia di Doha (senaman lantai) dan di Baku (palang sejajar dan melombol).
Yulo sebelum ini menjalani latihan di Jepun namun negara matahari terbit itu tidak lagi membenarkan atlet terbabit untuk menjalani latihan bersama-sama skuad mereka apabila Yulo sudah berjaya menewaskan atlet dari Jepun.
Jelas Shu Wai, harapan pingat diletakkan kepada gimnas nombor satu negara iaitu Shahrul Aimy Kamarul yang berpengalaman beraksi di temasya Sukan Komanwel selain meraih gangsa di Sukan Sea Hanoi dalam acara kekuda bepelana.
“Shahrul sekarang gimnas nombor satu negara jadi memang kita letak harapan kepada dia. Saya harap dia akan tenang dan tidak terlalu tertekan.
“Tapi saya faham, dia atlet utama dan memang ramai nak dia menang. Dia akan rasa tekanan di situ tapi tekanan itu adalah sesuatu yang baik untuk dia,” katanya.
Dalam pada itu, Shahrul Aimy yang akan beraksi di temasya Sukan SEA kedua selepas di Vietnam tahun lalu, berharap dapat menghadiahkan sesuatu buat kontinjen negara, biarpun skuad gimnastik ketika ini agak terganggu dengan masalah kecederaan.
“Saya juga ada kecederaan kaki, agak kacau kerana Sukan Sea kali ini saya mahukan pingat dua medal, mungkin dalam acara kegemaran saya melombol dan berpasukan.
“Berpasukan kami nak medal tahun ini, selepas tewas kepada Singapura pada edisi lalu,” katanya yang mahu fokus kepada acara berpasukan terlebih dahulu sebelum memikirkan acara individu.
Kecederaan buku lali kaki kirinya ketika ini cuba diabaikan dengan pengambilan ubat tahan sakit dan balutan tape.
Mengakui temasya Sukan SEA kali ini lebih tinggi tahapnya berbanding Sukan Komanwel, hanya semata-mata kehadiran Carlos Yulo.
Terdahulu pada temasya di Hanoi kontinjen gimnastik negara meraih empat emas, dua perak dan dua gangsa.
Emas dihadiahkan oleh Rachel Yeoh dalam acara wanita manakala dua lagi emas disumbangkan dalam acara gimrama menerusi berpasukan dan individu keseluruhan.