JURULATIH Skuad Hoki Dalam Dewan Lelaki Kebangsaan, Mohamad Hanif Che Halim akan menggunakan segala formula yang dimiliki ketika bergelar pemain untuk dibawa ke dalam skuad yang dibimbingnya ketika ini.

Jelasnya, pengalaman sebagai pemain pada dua edisi Sukan SEA lalu iaitu pada Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur dan Sukan SEA 2019 Filipina akan menjadi aset terbaik untuk diturunkan kepada barisan pemain.

Corak taktikal ‘lapuk’ sudah tidak lagi relevan, justeru dia akan membuat permainan yang lebih bervariasi serta mempunyai kelajuan kerana ianya yang diperlukan pasukan untuk mencetak gol-gol penting.

“Semasa di Filipina saya sebagai pemain, dan sebagai ketua pasukan. Pada edisi kali ini, pengalaman dari 2017 dan 2019 akan saya bawa ke sini. Di sini saya diserap untuk jadi jurulatih. Banyak pengalaman akan saya bawa ke dalam pasukan ketika ini.

“Corak permainan kita akan ubah, kita akan lebih variasikannya. Kita tidak akan guna taktikal yang lama supaya tidak berjaya dihidu pihak lawan. Jadi kita akan ubah corak permainan kita menjadi lebih agresif,” jelasnya.

Mengulas perkembangan bekas jurulatih Hoki Dalam Dewan Lelaki Kebangsaan, Dharma Raj Abdullah yang kini berkelana membimbing pasukan Indonesia tahun ini, dia mengakui pasukan Indonesia memiliki lebih banyak pendedahan kerana telah bermula sesi latihan lebih awal.

ARTIKEL BERKAITAN : Sukan SEA 2023: Tiada istilah ‘pilih kasih’ kumpul pemain Hoki Dalam Dewan Lelaki

Oleh itu, dia sudah bersedia melakukan perubahan dari segi taktikal dan menyimpan senjata rahsia bagi mengatasi pasukan Indonesia dibawah pengendali Dharma Raj Abdullah.

Jurulatih Skuad Hoki Dalam Dewan Lelaki Kebangsaan, Mohamad Hanif Che Halim.

“Perlawanan yang paling hampir adalah pada Piala Asia. Kita pun pernah jumpa dengan mereka dan lihat taktikal mereka. Mereka banyak keluar kejohanan di luar tetapi kita baru mula berlatih semalam. Ada perubahan sedikit taktikal mereka. Tetapi di situ kita akan kenalpasti untuk lonjak lebih tinggi bagi bersaing dengan mereka,” ujarnya.

Bagaimanapun, tidak boleh dinafikan tekanan tinggi bakal dihadapi pemain kebangsaan yang memegang gelaran juara bertahan namun Mohd Hanif Che Halim optimis berbekalkan latihan dan moral setelah anak buahnya baru menjadi johan Piala Asia bakal menjadi tonik terbaik bagi skuadnya terus memburu kejayaan.

“Memang betul tekanan itu ada tetapi kita boleh teruskan sebab kita baru johan Piala Asia. Moral pemain sedang berada pada tahap tertinggi, jadi kita akan perkemaskan dari segi latihan,” katanya.