PERMUKAAN lantai getah yang baharu di pasang menjadi antara halangan kepada pesta jaringan lebih besar skuad hoki dalam dewan lelaki kebangsaan, apabila sekadar menang 10-1 ke atas tuan rumah, Kemboja dalam aksi pertama pusingan round robin.
Pengendali, Mohd Hanip Che Halim berkata, tiga mata pertama diraih itu cukup memberi kepuasan namun agak mengecewakan apabila gagal menzahirkan kemenangan lebih besar.
“Saya amat berpuas hati dengan persembahan pemain utuk perlawanan pertama ini, namun masih ada kekurangan yang perlu diperbetul, tambahan pula kami dibolosi satu gol,” kata Hanip.
Skuad lelaki negara memperoleh lima gol menerusi pukulan sudut penalti namun turut mensia-siakan beberapa pukulan yang gagal disudahkan dengan jaringan.
“Antara sebab kita gagal mendapat lebih banyak jaringan adalah permukaan lantai yang melekat pada bola kerana lantai getah baru di pasang selain pemain sendiri kurang fokus Ketika melakukan percubaan.
“Dari segi taktikal, cukup berpuas hati namun perlu diperbaiki lagi dan saya mahu pemain lebih cepat stabil serta settle down daripada perlawanan hari ini untuk berdepan Filipina esok, kerana ada beberapa pemain yang baru tiba menyertai pasukan,” katanya lagi.
Ketua jurulatih itu turut berharap pemain cepat menyesuaikan diri di Kemboja kerana cuaca amat panas.
Pada perlawanan itu, Faridzul Afiq Mohd menjaringkan tiga gol, Abdul Khaliq Hamirin (2), mana Danial Asyraf Abdul Ghani, Muhamad Izham Azhar, Muhammad Firdaus Omar, Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan dan Mohd Norhafizie Jamil Azomi masing-masing menjaringkan satu gol.
Gol saguhati Kemboja pula disumbang pemain negara yang menjaring gol ke gawang sendiri, Ammar Rana.
Dalam perkembangan berkaitan, Indonesia membelasah Singapura 7-0 manakala Thailand membenam cabaran Filipina 14-0.