SKUAD hoki dalam dewan wanita memperoleh kemenangan pertama di temasya Sukan SEA Kemboja, namun perlu segera memperbaiki kelemahan dan kesilapan yang dilakukan.

Ketua jurulatih Mohd Badrul Hisyam Osman berkata, biarpun berpuas hati dengan tiga mata yang diraih, namun menjelang perlawanan seterusnya, skuad bimbingannya perlu mengelak dari mengulangi kesilapan yang sama.

“Pemain bermain dengan baik dan mengikut perancangan yang kita rancang sebelum perlawanan bermula, namun ada beberapa kesilapan dilakukan dan perlu diperbetul,” katanya.

Dia mengakui, pemainnya kurang mencipta jaringan pada babak kedua berikutan pasukan lawan, mula bermain secara bertahan.

Pada perlawanan pertama pusingan round robin, skuad hoki dalam dewan wanita menang 8-0 ke atas Singapura.

Skuad Singapura mula menerapkan corak bertahan pada babak kedua menyaksikan skuad negara hanya berjaya membolosi dua gol berbanding babak pertama enam gol.

Pada perlawanan itu, Nuraslinda Said menjaringkan empat gol pada minit kelapan, 11, 18 dan  19, manakala Fazilla Sylvester Silin dua (m13, m34) Raja Norsharina Raja Shahbuddin (m3), dan Iren Hussin (m26).

“Aksi kedua menentang Filipina esok, kita akan mengekalkan corak permainan sama selain memperkemas beberapa kesilapan kecil yang sudah dikenalpasti.

“Saya harap, kali ini, pemain tiak melepaskan setiap peluang menjaringkan gol kerana jumlah jaringan amat penting dalam setiap perlawanan,” kata Mohd Badrul.

Ketika skuad dalam dewan wanita negara menang selesa ke atas Singapura, Thailand lebih dahulu berpesta apabila turut mencapai kemenangan 8-0 ke atas Filipina.