NG Jing Xuen mengharapkan tuah ‘ikan emas’ menghadirkan gemilang buatnya di temasya Sukan Sea Kemboja bulan depan.

Biarpun masih muda, pemain golf remaja negara itu tetap mempunyai keazaman tinggi untuk menyumbang pingat emas kepada kontinjen negara.

Pada usia 15 tahun, Jing Xuen yang menjadikan Jon Rahm yang juga pemain nombor satu dunia sebagai idola, menggunakan kata-kata azimat pemain antarabangsa itu yang menyatakan ikan emas sebagai haiwan paling gembira di dunia, kerana ikan itu mempunyai memori hanya selama 10 saat.

“Walaupun berjaya merangkul perak pada Sukan Sea Hanoi dalam acara berpasukan wanita, saya meletakkan tekanan dan harapan terlalu tinggi kepada diri sendiri dan kali ini saya mahu tampil dengan lebih tenang dan positif.

Biarpun baru berusia 15 tahun, Ng Jing Xuen cukup matang dalam menetapkan visi dalam kehidupan.

“Saya mahu menjadi seperti ‘ikan emas’ bagi memahat kejayaan saya di Kemboja nanti, jika melakukan kesilapan, dalam 10 saat saya mahu lupakan segala-galanya yang buruk dan selepas itu bangkit dengan positif dan menikmati permainan di padang.

“Saya mahu lakukan yang terbaik dan jika boleh mahu menyumbangkan emas buat negara. Ketika ini, persiapan saya dan bersama rakan sepasukan juga baik dan kami bersedia untuk berdepan cabaran di Kemboja nanti,” katanya.

Dalam pada itu, dia mengakui penyertaan dalam beberapa kejohanan di luar negara banyak membantu untuk meraih keyakinan dan lebih tenang dalam permainan sekali gus menjadi bekalan terbaik untuk bersaing di Sukan Sea Kemboja nanti.

Pada Sukan Sea Hanoi 2021, skuad golf negara membawa pulang dua pingat emas menerusi Ervin Chang dalam acara individu dan dia turut berganding dengan K Rhaasrikanesh, Marcus Lim untuk meraih emas dalam acara berpasukan.

Manakala satu pingat perak menerusi acara berpasukan wanita dan satu pingat gangsa.