JUDOKA-JUDOKA Terengganu sekali lagi mencipta penanda aras tersendiri melalui kecemerlangan program pembangunan sukan tempur dari Jepun di bumi Terengganu ini setelah mendominasi tiket untuk mewakili negara ke pentas temasya Sukan SEA 2023 yang akan membuka tirai pada 5 Mei nanti.
Lima atlet judo dari Terengganu yang dibarisi oleh Haykal Ridzuan Edi Sutejo, Afiq Danish Zapri, Fakhrul Adam Fauzi Cruz, Alya Yasmeen Rosali dan Nur Ain Hafiezza Amran bersama tiga lagi judoka dari Pulau Pinang dan seorang dari Johor bakal menyertai sembilan acara sahaja berikutan peraturan yang diperkenalkan oleh tuan rumah bagi edisi penganjuran kali ke-32 ini.
Melihat pada perkembangan ini, kem judo negara menyasarkan sekurang-kurangnya satu pingat emas untuk di bawa pulang di mana melihat kelebihan edisi kali ini memihak kepada Vietnam dan Thailand untuk mendominasi podium.
Untuk rekod, pada penganjuran kali ini hanya 13 acara yang dipertandingkan melibatkan enam acara lelaki dan enam acara wanita iaitu Lelaki Bawah 55kg, Lelaki Bawah 60kg, Lelaki Bawah 66kg, Lelaki Bawah 73kg, Lelaki Bawah 90kg, Lelaki Kime No Kata, Wanita Bawah 44kg, Wanita Bawah 48kg, Wanita Bawah 52kg, Wanita Bawah 57kg, Wanita Bawah 70kg, Wanita Ju No Kata dan Berpasukan Campuran.
“Temasya Sukan SEA Kemboja 2023 ini memberi peluang yang besar buat atlet-atlet dari Terengganu untuk beraksi di pentas yang lebih tinggi sekali gus untuk melakar nama masing-masing sebagai atlet kebangsaan di mana rata-rata mereka semua ini adalah atlet yang lahir dari pentas Sukan Malaysia (SUKMA) bagi kontijen negeri Terengganu.
“Ini memberi gambaran jelas kecemerlangan program pembangunan sukan judo di peringkat negeri Terengganu sejak 2007 mampu melahirkan atlet-atlet yang berkualiti mampu untuk bersaing di pentas antarabangsa.
“Cabaran besar buat kami di mana tuan rumah hanya menyenaraikan 12 acara untuk dipertandingkan berbanding 20 acara sepatutnya di mana setiap negara hanya boleh menyertai sembilan acara sahaja.
“Situasi ini meletakkan hanya sasaran satu pingat emas buat negara dan sudah pasti untuk seberapa banyak bagi lain-lain warna pingat yang perlu kita rampas dari Vietnam dan Thailand yang dilihat menjadi cabaran utama buat kami di sana nanti,” ujar Marjan Abdullah yang pertama kali dipertanggungjawabkan selaku pengurus pasukan judo kebangsaan untuk ke Sukan SEA Kemboja 2023 ini.
Beliau yang kini berusia 36 tahun juga merupakan ketua jurulatih pasukan judo Terengganu dan terdahulu turut pernah menjawat jawatan selaku ketua jurulatih kebangsaan pada 2013 sehingga 2021.