KONTINJEN negara dijangka meraih pingat emas pertama sehari selepas upacara rasmi Sukan SEA Kemboja, dengan sandaran diletakkan kepada atlet Jujitsu, Adam Akasyah.
Ketua Kontinjen (CDM), Datuk Mohd Nasir Ali berkata, Adam yang beraksi dalam kategori lelaki Ne-Waza 69 kilogram (kg) sebagai prospek terbaik meraih pingat emas buat kontinjen negara sebaik acara itu bermula Sabtu ini.
“Kita menjangkakan pingat emas pertama negara daripada sukan Jujitsu, sehari selepas perasmian pembukaan iaitu pada 6 Mei.
“Sebelum ini dia pernah mengalami kecederaan dan kita masih mengharapkannya untuk deliver emas buat kontinjen,” kata Mohd Nasir.
Beliau ditemui selepas Majlis Sambutan Pasukan dan upacara menaikkan bendera kontinjen yang berlangsung di Kompleks Sukan Morodok.
Pada temasya di Hanoi, Adam sekadar meraih pingat perak selepas tewas kepada atlet Singapura, Noah Lim yang menyaksikan pemilik tali pinggang biru itu mengalami patak buku lali.
Atlet terbabit juga meraih pingat gangsa pada temasya 2019 yang berlangsung di Filipina.
Ketika harapan disandarkan kepada atlet Jujitsu itu, CDM turut memuji atlet negara yang sudah memulakan cabaran: “Prestasi setakat ini, atlet kita bergaya dan berjaya terutamanya dalam sukan hoki dalam dewan baik lelaki dan Wanita, begitu juga dengan kriket namun cabaran agak sukar dihadapi atlet catur kemboja (Ouk Chaktrang) kerana atlet kita tidak pernah bermain dalam acara ini, namun saya masih mengharapkan mereka mampu menybumbang pingat kepada negara.”
Sementara itu, Mohd Nasir berkata, kira-kira 300 atlet negara sudah berada di bumi Kemboja dan beberapa maslaah yang timbul sudah diatasi.
“Kebanyakan atlet berada di perkampungan sukan namun disebabkan kekurangan bilik dan tempat tinggal, kita sudah menempatkan atlet di beberapa hotel berdekatan, namun atlet yang akan bertanding di Shihanoukville dan Seam Reap, hanya akan tiba hari ini.
“Isu kecil lain seperti debu dalam bilik penginapan, sudah di atasi penganjur. Isu lain tidak timbul dan saya berpuas hati dengan pengangkutan, makanan halal yang disediakan,” kata Mohd Nasir.