KETUA Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan SEA 2023, Datuk Mohd Nasir Ali menjelaskan sasaran akan diteliti semula untuk mengenalpasti jumlah pingat yang akan dibawa kontinjen kebangsaan menjelang Sukan SEA Kemboja 2023.
Jelas beliau, sasaran kali ini perlulah lebih baik daripada sasaran tahun lepas semasa kontinjen negara beraksi di Sukan SEA Hanoi 2021.
“Pendekatan yang kami akan lakukan, kita mesti cuba mendapatkan prestasi yang lebih baik dari tahun lepas. Satu sebab pada masa itu kita baru sahaja keluar dari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Kita akan ada mesyuarat untuk menetapkan semula sasaran. Jadi semasa mesyuarat itu, kita akan memastikan bahawa sasaran yang ditetapkan adalah sasaran yang realistik, bukannya sasaran syok sendiri atau untuk memuaskan hati kita. Kita juga akan tentukan jumlahnya kemudian,” ujarnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Sukan SEA 2023: Ramadan tak jejas persiapan atlet
“Atlet-atlet kita lebih bersedia berbanding Hanoi”-CDM Sukan SEA Kemboja
Dalam pada itu, sebuah mesyuarat akan diadakan bersama Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) bagi menentukan sasaran tepat dan realistik bagi atlet bertanding dalam Sukan SEA Kemboja 2023 tahun ini.
“Sekali dengan Jawatankuasa Pemilihan dan MSN. Ia adalah mesyuarat untuk menetapkan sasaran. Kita akan bekerjasama dengan MSN dan ISN sebab dari segi persiapan dan kemampuan atlet,” katanya.
Tambah beliau, atlet tidak boleh berada pada zon selesa dan perlukan sedikit tekanan untuk mereka membuktikan bahawa mereka mampu beraksi pada tahap optimum.
“Kita kena tekan mereka. Kadangkala mereka mampu tapi sebab tiada semangat, bila ada tekanan kuat sikit, kalau tiada tekanan rileks sahaja susah juga,” jelasnya.