POTENSI pingat emas negara dalam acara 4×100 meter (m) lelaki tetap ada meskipun Thailand terlalu ampuh dengan kehadiran Puripol Boonson di Temasya Sukan Sea Kemboja, bulan hadapan.
Pelari pecut harapan negara, Khairul Hafiz Jantan menyuarakan hal itu berdasarkan prestasi atlet pecut lelaki negara selepas mengharungi latihan dan perlumbaan di Asutralia, baru-baru ini.
Menurutnya, untuk potensi pingat emas, jurulatih Mohd Poad Md Kassim memberitahu lebih realistik untuk skuad olahraga negara meraih emas menerusi kuartet 4x100m lelaki berbanding acara riben biru, 100m.
“Untuk acara pecut 100 meter peluang itu ada tapi kita perlu sedar bahawa ramai pelari dari negara lain yang mempunyai catatan semasa lebih pantas.
“Namun untuk kuartet 4x100m, saya dan kawan-kawan sudah mula mencatat masa 10.4s dan 10.3s jadi tidak mustahil untuk kuartet melakukan catatan sekitar 39 saat dan jika berjaya, peluang pingat emas itu tinggi,” kata Khairul Hafiz.
Sebelum bertolak ke Phnom Penh, skuad olahraga negara akan menyertai kejohanan terakhir di Terbuka Singapura, yang dijadual berlangsung 26 hingga 28 April.
“Terbuka Singapura menjadi destinasi terakhir sebagai persiapan ke Kemboja, jadi di situ kami akan menguji lagi kuartet yang sama seperti di Australia,” katanya sambil memberitahu, mendapat cuti hari raya yang singkat.
Begitupun, Khairul Hafiz tetap tersenyum kerana katanya, gembira diberi cuti berhari raya bersama keluarga.
“Special raya tahun ni kerana dapat balik beraya dengan keluarga, tapi paling lama hanya dua hari, jika jurulatih cakap petang raya tu kena balik latihan, kami terpaksa ikut,” katanya.
Khairul Hafiz turut berkongsi pengalaman sedihnya pada awal kerjaya sebagai atlet: “Paling tidak dapat saya lupakan ketika menyertai Kejohanan Remaja Dunia di Cali, Columbia 2015, saya bersama Badrul (Hisyam Abdul Manap), coach Poad dan rakan-rakan lain.
“Waktu itu kali pertama saya berpuasa di luar negara jauh dari keluarga dan terpaksa pula berlari pada hari raya pertama dalam acara 200m… sedih dan sayu. Tapi sekarang sudah biasa,” ujarnya.