PASUKAN kebangsaan Malaysia Bawah (B-22) telah mengumumkan 25 pemain dalam skuad untuk menyertai kem latihan pusat dari 19 hingga 21 April 2023 bagi membuat persediaan menghadapi bola sepak lelaki Sukan SEA ke-32 2023 di Kemboja.

Daripada senarai itu, Mukhairi Ajmal Mahadi yang sebelum ini terlepas bersama skuad B-22 kini kembali bersama skuad E. Elavarasan yang dilihat mengekalkan majoriti pemain yang beraksi pada Piala Merlion 2023 bulan lalu.

Bagi panggilan kem latihan pusat kali ini, ia dibahagikan kepada dua fasa iaitu Fasa 1 di mana semua pemain diwajibkan melaporkan diri pada hari Rabu, 19 April selama tiga hari latihan sehingga Jumaat, 21 April 2023.

Para pemain akan diberi cuti Hari Raya Aidilfitri selama dua hari pada 22 dan 23 April, sebelum mereka perlu melaporkan diri secara berperingkat untuk kem latihan pusat Fasa 2 bermula Isnin, 24 April 2022, bergantung kepada penglibatan mereka dalam perlawanan Liga Super dengan kelab masing-masing dalam minggu berkenaan.

Skuad negara akan berlepas ke Kemboja pada 2 Mei 2023 dan membuka saingan Kumpulan B menentang Laos pada 3 Mei 2023 kemudian menentang Thailand (6 Mei 2023), dan Vietnam (8 Mei 2023) sebelum menutup pertandingan peringkat kumpulan bertemu Singapura pada 11 Mei 2023.

Sekiranya pasukan negara berjaya melepasi peringkat kumpulan, mereka akan beraksi di separuh akhir pada 13 Mei 2023 dan perlawanan akhir serta penentuan gangsa akan berlangsung pada 16 Mei 2023.

Pemain Malaysia yang beraksi pada Piala Merlion 2023 di Singapura, bulan lalu.