PERBINCANGAN mengenai sasaran pingat ke Sukan SEA Kemboja belum diputuskan, namun Ketua Kontinjen (CDM) ke temasya itu, Datuk Mohd Nasir Ali yakin kontinjen negara mampu memperbaiki pencapaian di Hanoi 39 emas, 45 perak dan 90 gangsa.
Biarpun sasaran pingat hanya akan diumumkan pada 30 April ini, beliau tetap menaruh keyakinan kepada 680 atlet yang 57 peratus daripadanya adalah atlet muda.
Nasir yang ditemui ketika Bengkel Penetapan Sasaran Pingat di Cyberjaya berkata, harapan masih diletakkan kepada dua sukan utama iaitu olahraga dan renang yang mempunyai kontinjen terbesar selain beberapa acara individu yang lain seperti badminton dan karate.
“Bengkal hari ini adalah penting untuk kita menilai kembali potensi dan sasaran realistik dari semua persatuan sukan.
“Mungkin ada sedikit perubahan berhubung sasaran pingat berdasarkan kemampuan dan hasil data-data pesaing yang sudah dikumpulkan sebelum disembahkan kepada MOM (Majlis Olimpik Malaysia) dan menteri yang akan diumumkan pada 30 April ini pada majlis penyerahan bendera,” katanya.
Sebelum mula bertanding, kontinjen negara sudah kehilangan 15 hingga 18 pingat emas apabila acara utama seperti menembak, memanah, gimnastik wanita dan bina badan tidak dipertandingkan, membuatkan desakan tinggi terarah kepada olahraga dan renang yang menawarkan pingat paling banyak di temasya dwi tahunan itu.
Namun agak mustahil buat olahraga mencapai sasaran yang ditetapkan sebelum ini iaitu 10 emas, berdasarkan beberapa isu yang melanda Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) membabitkan pengunduruan jaguh pecut negara Muhammad Azeem Fahmi dan isu jurulatih atlet lompat bergalah negara Nor Sarah Adi.
“Saya akan cuba untuk menyelesaikan isu berbangkit berhubung Sarah Adi dan akan berjumpa dengan KOM dan MSN untuk membincangkannya.
“Kita ada masa 22 hari lagi untuk membuat persiapan dan saya harap perkara itu tidak akan mendatangkan masalah kepada persiapan atlet itu sendiri,”katanya.