MENJAGA kondisi Shereen Samson Vallabouy menjadi keutamaan dalam misi memastikan satu pingat emas Sukan Sea Kemboja datang daripada pemegang rekod kebangsaan acara 400 meter (m) baharu itu.
Pencapaian Shereen ketika merakam rekod baharu kebangsaan acara 400 kebangsaan di Amerika Syarikat (AS) itu sememangnya sudah dijangka ketua jurulatih olahraga, Mohd Zaki Sadri, dan bertindak pantas berbincang dengan jurulatih atlet terbabit di AS dan juga ibunya, Josephine Marry.
Menurut Zaki pencapaian Shereen ketika mewakili Winona State University di Minnesota di AS sehingga akhirnya memecah rekod kebangsaan milik Allahyarhamah Rabia Abdul Salam dengan catatan baharu 51.80 saat (s) itu, cukup membanggakan namun beliau tidak mengharapkan satu lagi catatan baharu di Kemboja.
“Sudah dijangka, tapi saya juga sudah berbincang dengan jurulatihnya di AS serta ibunya, Josephine Marry untuk maklumkan bahawa Shereen perlu fokus kepada Sukan Sea.
“Paling penting, Shereen bebas daripada kecederaan sahaja. Justeru, saya tidak mahu dia menyertai banyak acara selain 400m dan 4x400m sahaja.
“Malah, saya juga tidak menjangkakan dia memecahkan satu lagi rekod, cukup untuk memenangi emas buat negara,” kata Zaki.
Menurutnya, kondisi Shereen perlu dijaga terutamanya atlet itu akan mengalami perubahan dan peralihan cuaca dari AS ke Malaysia.
“Pertama kita perlu pastikan dia bebas kecederaan kerana Shereen ada masalah besar untuk pulih jika mengalami masalah kecederaan tulang belakang, dan dia juga memerlukan proses pemulihan tertentu setiap kali selepas perlumbaan, itu kami perlu jaga betul-betul.
“Dari segi catatan masa, saya tidak bimbang kerana catatan semasa ditunjukkan ada progress peningkatan,” katanya.
Beliau enggan berkongsi tarikh kepulangan Shereen namun mengesahkan pelari itu akan menyertai skuad olahraga kebangsaan ke Kemboja pada 6 Mei depan.
Catatan masa dilakukan Shereen 51.80s itu jauh mengatasi catatan pemenang pingat di Hanoi.
Pada temasya Hanoi 2021, atlet Vietnam, Nguyen Thi Huyen menang pingat emas dengan catatan 52.83s, mengatasi pelari Thailand, Benny Nontanam (54.01s) dan seorang lagi pelari tuan rumah, Quach Thi Lan (54.40s).
Catatan masa Shereen itu juga mengatasi masa pemenang pingat gangsa Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018, Elina Mikhina dari Kazakhstan 52.63s, namun agak jauh di belakang pemenang pingat emas, Salwa Eid Naser dari Bahrain (50.09s) dan Hima Das dari India (50.79s).
Ditanya mengenai sasaran pingat emas dari skuad olahraga negara ke Sukan Sea Kemboja, Zaki sedar berkongsi menyasarkan untuk mengatasi pencapaian di Hanoi iaitu lima emas, tiga perak dan lapan gangsa.
Pada temasya lalu, lima pingat emas diraih skuad olahraga negara melalui acara padang iaitu lompat kijang, lempar cakera, baling tukur besi lelaki serta lompat bergalah dan baling tukul besi wanita.
Justeru, congakan mudah sasaran melebihi lima emas boleh dianggap melalui penambahan satu lagi pingat emas yang bakal disumbangkan Shereen di temasya Kemboja nanti.