PEMENANG emas Piala Dunia Jet Ski 2015 di Thailand, Terry Tee optimis mencipta sejarah sebagai pemenang emas Sukan Sea Kemboja, apabila sukan ekstrem permotoran air itu dipertandingkan buat kali pertama pada temasya dwitahunan berkenaan.

Terry, 30, yang berpengalaman beraksi di Sukan Asia Jakarta-Palembang berkata, persiapan pasukan negara bagi temasya kali ini lebih mantap dengan adanya sokongan daripada Institut Sukan Negara (ISN).

“Persiapan berjalan lancar dengan latihan di Tasik Biru Kundang dan di ISN yang sangat membantu. Untuk jet ski, pastinya penunggang kena cergas, selain mekanik dan jentera pun memainkan peranan yang besar,” katanya.

Terry Tee ketika muncul pemenang Piala Dunia Jet Ski 2015, pada Kejohanan King’s Cup di Pattaya City, Thailand.

Terry, juara kategori Pro-Am Runabout Open Piala Dunia 2015 di Thailand, mengakui pelumba Thailand, Indonesia dan tuan rumah Kemboja, adalah pencabar utama pada temasya kali ini.

Dia yang akan beraksi dalam kategori Runabout Stock dan Runabout 1100 Stock, memberitahu, kos untuk terbabit dalam perlumbaan itu agak tinggi, apabila harga jet ski mencecah kira-kira RM200,000, manakala kos penyelenggaraan dan mekanik untuk satu-satu pertandingan boleh mencecah lebih RM50,000.

Malaysia turut diwakili oleh Izzah Athirah Ahmad Zuhairi dalam kategori Runabout 1100 Stock, Norfirdaus Rafie (Endurance) dan Muhammad Arife Rayhan Mohd Rasis (Ski GP), dan pertandingan jet ski itu dijadualkan bermula pada 13-16 Mei di Sihanoukville, bandar peranginan di pantai barat daya Kemboja.