PEMAIN hoki remaja lelaki kebangsaan membuatkan jurulatih Muhammad Amin Rahim tersenyum, apabila mencatatkan keputusan memberangsangkan pada siri latihan di Perth, Australia.
Enam perlawanan diatur sebagai persediaan ke Sukan Sea Kemboja, 5 hingga 17 Mei depan itu, sudah membuahkan hasil selepas tiga perlawanan menentang pasukan All Star Team yang terdiri daripada gabungan pemain dari kelab berbeza di Liga Australia.
Skuad muda negara seri 2-2 pada perlawanan pertama, menang 3-2 dalam perlawanan kedua dan tewas 1-2 semasa perlawanan ketiga.
“Untuk tiga perlawanan yang mereka sudah beraksi, saya nampak peningkatan dalam setiap perlawanan terutamanya membabitkan tahap kepercayaan diri, keyakinan dan semangat berpasukan.
“Mereka juga beraksi dengan baik sebagai satu unit, dapat menguasai bola dan benteng pertahanan juga bertambah baik. Cuma ada beberapa penambahbaikan perlu dilakukan termasuklah kreativiti untuk menjaringkan gol, kawalan dalam kawasan 25 ela serta penyudah pukulan sudut penalti,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.
Jelas Amin yang juga bekas pakar pukulan sudut penalti negara, pasukannya kini boleh dikatakan berada di landasan tepat untuk persiapan ke Kemboja.
“Secara keseluruhan saya gembira dengan prestasi setiap pemain, begitu juga prestasi sebagai satu pasukan. Tapi masih ada ruang yang perlu diperbaiki untuk persediaan ke Sukan Sea,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN : Sukan SEA 2023 : Pasukan hoki dalam dewan lelaki dan wanita kebangsaan ‘uji taring’ di Australia
Skuad remaja negara diletakkan sasaran tinggi untuk memenangi pingat emas di Kemboja sekali gus meneruskan penguasaan Malaysia dalam acara hoki pada temasya sukan dwi tahunan itu.
Skuad sama juga akan beraksi pada Piala Remaja Asia yang dijadual berlangsung di Oman bermula 23 Mei sebelum menghadapi misi penting di Piala Dunia Remaja yang menyaksikan Malaysia sebagai tuan rumah pada Disember depan.