KEHADIRAN bulan Ramadan dijangka tidak akan menjejaskan persiapan skuad negara ke Sukan SEA, Kemboja Mei ini
Hal itu disuarakan Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan SEA 2023, Datuk Mohd Nasir Ali yang yakin dengan perancangan latihan yang sudah direncanakan setiap jurulatih.
“Kira-kira 50 hari sahaja lagi untuk Sukan Sea bermula selain beberapa hari menjelang Ramadan. Saya fikir mungkin akan ada sedikit kekangan dari segi susunan jadual latihan nanti.
“Bagaimanapun, saya yakin barisan kejurulatihan ada perancangan tersendiri dan akan mengubahsuai jadual latihan (sepanjang Ramadan),” katanya, selepas melakukan lawatan ke venue latihan atlet, di Majlis Sukan Negara (MSN).
Beliau yang juga Penolong Bendahari Majlis Olimpik Malaysia (MOM), meluangkan masa lebih sejam bagi meninjau persiapan atlet sukan gimnastik, wushu, taekwondo dan sepak takraw.
Turut serta Timbalan CDM, Datuk Shalin Zulkifli dan Sharon Wee.
Mohd Nasir menjelaskan, beliau berpuas hati dengan komitmen serta kesungguhan yang ditampilkan kesemua atlet dalam usaha membawa pulang kilauan pingat emas buat kontinjen negara.