APABILA kesabaran diuji, pada bulan mulia inilah membuatkan kita reda dengan apa jua kemungkinan yang bakal terjadi.
Begitulah yang dirasakan atlet lompat bergalah negara, Nor Sarah Adi yang sedia menerima sebarang tindakan yang mungkin dikenakan ke atasnya selepas memutuskan untuk terus berlatih di bawah kendalian bekas ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Mohd Manshahar Abdul Jalil.
Pemenang pingat emas temasya Sukan Sea Hanoi itu menegaskan bahawa dia tetap dengan keputusannya itu, biarpun pernah diberi amaran oleh Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) sekiranya ingin terus berlatih di bahawa bimbingan Manshahar, atlet berusia 23 tahun itu perlu keluar daripada Program Podium.
“Saya tak kisah, saya rasa semua orang tahu dan tak perlu saya sorokkan lagi sekarang saya akan meneruskan latihan bersama coach Manshahar.
“Sebulan saya terkontang-kanting tiada jurulatih, tiada siapa peduli. Tak siapa pun tanya keadaan saya. Jadi saya suruh saja dia (Manshahar) datang untuk melatih saya, nak buat macam mana,” katanya.
Keluh kesah Sarah itu diluahkan ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa bersama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh di Majlis Sukan Negara (MSN) baru-baru ini.
Semakin meningkat usia, Sarah juga bertambah matang, mengakui tidak kisah dengan sebarang bentuk hukuman yang akan dikenakan malah dia sudah membuktikan mampu untuk mengekalkan prestasi di tahap terbaik di bawah bimbingan Manshahar selepas merekodkan lompatan setinggi 4m untuk meraih pingat perak di Kejohanan Jemputan di Taiwan hujung bulan lalu.
Emas di kejohanan itu dimenangi atlet Amerika Syarikat, Jill Marois yang merekodkan ketinggian 4.10m manakala Mayu Nasu dari Jepun dan atlet Thailand, Chonthicha Khabut masing-masing mencatatkan 3.90m untuk berkongsi pingat gangsa.
“Ada orang kata, prestasi saya di Taiwan akan tentukan sama ada saya akan beraksi dalam acara lompat bergalah atau tidak di Sukan Sea nanti jadi saya tiada pilihan masa itu dan minta untuk coach Manshahar datang.
“Hanya dia yang tahu situasi dan kemampuan saya, masa itu saya tiada siapa-siapa. Saya tak boleh minta orang lain tengok.
“Dulu dia (Manshahar) tengok saya dari jauh, saya hantar video tapi saya fikirkan prestasi saya, saya turun berlatih tak ada siapa yang tengok, tak ada orang peduli dan tak orang tanya.
“Malah ada cakap-cakap belakang yang katakan saya tak boleh ‘perform’ masa di Sukan Sea.
“Jadi saya perlu buat keputusan ini. Untuk saya dan juga untuk negara. Sebab saya berjuang untuk Malaysia,” katanya.
Sarah kini masih diletakkan sebagai prospek terbaik KOM meraih emas di Sukan Sea berdasarkan prestasi yang ditunjukkan olehnya dan berdasarkan statistik terkini Sarah kini berkedudukan tempat pertama Asia Tenggara mengatasi pesaingnya dari Thailand, Chonthicha dan Alyana Joyce Nicholas dari Filipina.
Sebelum ke Sukan Sea Kemboja, Sarah akan menyertai Kejohanan Olahraga Terbuka Singapura 26 hingga 28 April ini, hanya beberapa hari selepas menyambut lebaran.
“Saya akan sertai Terbuka Singapura dan di situ saya berharap dapat menggunakan galah panjang, sebelum ke Sukan Sea,” katanya.
Terdahulu kemelut yang melanda Sarah bermula apabila kontrak Manshahar selaku ketua jurulatih olahraga tidak disambung awal tahun lalu yang mana tugas itu kini digalas oleh bekas atlet lompat kijang negara, Zaki Sadri.
Zaki sebelum ini berkhidmat sebagai ketua jurulatih skuad olahraga Terengganu.