BUKAN 10 tapi lebih dari lima.
Begitulah sasaran kemungkinan yang diletakkan skuad olahraga negara di temasya Sukan Sea Kemboja Mei depan.
Pengurus pasukan olahraga negara Datuk R Annamalai mengakui sukar buat itu membawa pulang 10 emas di Kemboja.
Bagaimanapun, beliau yakin, pencapaian di Hanoi, mampu diperbaiki 64 atlet olahraga yang terpilih ke temasya itu apabila skuad olahraga negara hanya membawa pulang lima emas, tiga perak lapan gangsa di Vietnam.
“Untuk dapatkan 10 itu agak susah tapi kami akan berusaha untuk dapat lebih baik dari lima emas.
“Kami akan berusaha untuk mencapai matlamat yang ditetapkan oleh kontinjen dan saya berharap semua berjalan lancar dan atlet juga dalam keadaan sihat,” katanya.
Beliau turut mengakui peluang untuk atlet 100 meter (m) iaitu Khairul Hafiz Jantan dan Haiqal Hanafi meraih emas agak sukar dengan kehadiran atlet muda Thailand, Puripol Boonson yang mempunyai rekod 10.09 saat (s) selain menyandang gelaran 100m dan 200m.
“Kita kena akui bahawa Thailand memang terbaik ketika ini dalam acara itu.
“Tanpa ketiadaan Azeem (Fahmi) memang sukar untuk mengharapkan pingat emas dan kita perlu ukur di badan sendiri,” katanya.
Sementara itu barisan atlet olahraga dan renang pada Sukan Sea 2023 di Phnom Penh, Kemboja diharap dapat menampung kehilangan 15 pingat emas yang dimenangi kontinjen negara pada edisi 2021 di Hanoi, Vietnam, sebelum temasya bermula lagi selepas Phnom Penh menggugurkan banyak acara Olimpik.
Olahraga dan renang sememangnya menawarkan pingat yang paling banyak berbanding sukan lain dalam mana-mana temasya sukan.