JAGUH karate kebangsaan, Sharmendran Raghonathan, telah dipilih sebagai pembawa Jalur Gemilang untuk Kontinjen Malaysia ke Temasya Sukan Asia Tenggara Ke-32 yang bakal berlangsung mulai 5 hingga 17 Mei 2023 di Kemboja.
Pemilihan Sharmendran adalah berdasarkan prestasinya yang cemerlang dalam beberapa Temasya Sukan Asia Tenggara yang lepas dan dia turut disasarkan untuk menyumbang pingat emas kepada Kontinjen Malaysia kali ini.
Sharmendran yang merupakan juara bertahan dalam kategori Kumite Lelaki 75kg dalam tiga Temasya Sukan Asia Tenggara yang lepas iaitu Kuala Lumpur 2017, Filipina 2019 dan Vietnam 2021, akan memburu pingat emas yang keempat.
Penampilan ke-5 di Temasya Sukan Asia Tenggara yang bermakna untuk Sharmendran Raghonathan yang dipilih sebagai pembawa Jalur Gemilang di Kemboja nanti.
Semoga berjaya, Sharmendran! #SEAGames32 #Cambodia2023 #OlympicMAS pic.twitter.com/uE2Zl64PK3
— Olympic Malaysia 🇲🇾🥇 (@olympicmas) April 27, 2023
“Pemilihan Sharmendran sebagai Pembawa Jalur Gemilang untuk Kontinjen Malaysia merupakan suatu penghargaan yang tertinggi terhadap pencapaian beliau dalam Temasya Sukan Asia Tenggara,” ujar Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dalam kenyataan pada Khamis.
Sharmendran merupakan atlet sukan Karate yang kedua dipilih sebagai pembawa Jalur Gemilang Kontinjen Malaysia. Sebelum ini, Puvaneswaran Ramasamy merupakan pembawa Jalur Gemilang untuk Kontinjen Malaysia ke Temasya Sukan Asia Tenggara Ke-22 Vietnam 2003.
Kontinjen negara dianggotai oleh 677 atlet dan 237 pegawai menyertai sebanyak 34 jenis sukan dengan Datuk Mohd Nasir Ali diberikan peranan Chef de Mission.