SKUAD ping pong optimis mampu meraih pingat emas di Sukan SEA Kemboja bulan depan.
Keyakinan itu bersandarkan kepada persiapan terbaik yang dilakukan dengan menjalani latihan bersama pasukan ping pong antarabangsa selain menjalani latihan di luar negara.
Menurut pengurus pasukan Kang Fong Ling, persiapan rapi para pemain ketika mengadakan latihan bersama pemain Korea Selatan dan Taiwan selain menjalani latihan di China sebelum ini sudah menampakkan hasilnya menerusi penyertaan di Kejohanan WTT Feeder Antalya 2023, di Turki, 27 Mac hingga 1 April lalu.
“Semua negara melakukan persiapan (baik). Saya percaya saingan kali ini lebih sengit, lebih-lebih lagi dari pesaing kita Singapura dan Thailand,” katanya, pada sidang media di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Hadir sama jurulatih, Beh Lee Wei dan dua atlet Wong Qi Shen dan Alice Chang Li Sian.
Pada aksi di WTT itu, Alice Chang mara ke separuh akhir sebelum tewas kepada pemain Jepu, Miwa Harimoto.
Sementara Qi Shen yang bergandingan dengan Choong Javen dalam beregu lelaki, turut melangkah ke separuh akhir kejohanan sama.
Mereka mendapat tonik berharga apabila berjaya menyingkir gandingan Singapura, Clarence Chew-Beh Kun Ting 3-1 di suku akhir, sebelum tersekat di separuh akhir dengan kekalahan kepada satu lagi gandingan Singapura, Koen Pang-Izaac Quek.
Dalam pada itu, Lee Wei memberitahu, sesi latihan bersama rakan sepelatih dari luar negara memberi impak positif kepada atlet daripada aspek keyakinan, taktik dan teknik.
Katanya, para pemain berdepan dengan ramai rakan sepelatih berkualiti berbeza kemahiran serta teknik permainan dan ia menjadi pengalaman berguna buat pemain negara.
“Keyakinan atlet ada peningkatan. Teknik permainan juga bertambah bagus. Ia satu peningkatan yang drastik dan sangat positif,” katanya, sambil mengalu-alukan pemain Jepun yang akan tiba di tanah air minggu hadapan untuk menjalani latihan bersama skuad negara.
Pada Sukan SEA di Hanoi tahun lalu, kem ping pong negara meraih satu perak dan empat gangsa.
Temasya kali ini Alice dan Qi Shen menjadi sandaran buat skuad ping pong untuk menyumbang pingat buat negara.