TIDAK ada tekanan buat bekas raja pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan untuk memburu pingat emas 100 meter (m) di Temasya Sukan Sea Kemboja 2023, di Stadium Merodok Techo, Phnom Penh bermula 5 Mei ini.

Tanpa kelibat pemeagng rekod kebangsaan, Muhammad Azeem Mohd Fahmi yang fokus kepada pelajaran dan larian di Amerika Syarikat (AS), Khairul Hafiz, 25, sememangnya sandaran terbaik negara ketika ini.

Dia melakukan catatan terbaik musim ini 10.34s di sasalah satu kejohanan yang disertai di Australia dua minggu lalu.

“Tiada apa-apa tekanan buat saya kerana kita tahu banyak (pelari) negara lain lebih laju daripada kita buat masa ini. Namun, saya tetap akan cuba yang terbaik buat negara.

“Saya sudah diberi tanggungjawab untuk galas acara 100m kali ini. Andai kata ada rezeki, Insya-Allah jadi,” katanya, ketika tiba dari Australia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Isnin malam.

ARTIKEL BERKAITAN : Khairul Hafiz Jantan idam pingat emas Sukan Sea Kemboja

Di atas kertas, peluang emas mungkin sukar berdasarkan prestasi pencabar lain pada tahun lalu terutama juara bertahan dari Thailand, Puripol Boonson yang mencatat masa 10.09 saat (s).

Begitupun tiada yang mustahil kerana Khairul Hafiz juga sedang menunjukkan peningkatan prestasi selain reputasinya yang pernah meraih emas Sukan Sea Kuala Lumpur 2017.

Begitu juga dengan kejayaan seorang lagi pelari 100m di Kemboja nanti iaitu Muhammad Haiqal Hanafi yang mencipta kejutan sensasi mempertahankan emas Khairul pada Sukan SEA Manila 2019.

Justeru, Khairul dan barisan pecut negara terutama kuartet 4x100m negara mahu menjadikan pentas persediaan terakhir iaitu Terbuka Singapura hujung bulan ini sebagai platform memperbaiki segala teknik mereka.