KETIADAAN dua badang negara, Muhamad Aznil Bidin dan Mohamad Aniq Kasdan ke Sukan SEA Kemboja bukan halangan atlet lain melakar kejutan.

Ini kerana, dua atlet berkenaan terpaksa me­nyertai kejohanan lain bagi mengumpul mata kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Ujar jurulatih angkat berat kebangsaan, Yon Haryono dia juga tidak bersama skuad di Kemboja kerana memberi tumpuan untuk kelayakan Sukan Olimpik 2024.

“Kali ini saya tak pergi Sukan SEA bersama Aznil dan Aniq sebab fokus Kejohanan Asia di Korea Selatan bermula 2 hingga 6 Mei 2023.

“Kejohanan itu penting sebagai medan mengutip mata kelayakan ke Sukan Olimpik,” katanya kepada FLASH SUKAN.

Bagaimanapun, Yon menaruh keyakinan tinggi kepada pemenang pingat perak Sukan Komanwel Birmingham, Muhammad Erry Hidayat yang kini berada pada prestasi terbaik bagi sekurang-kurangnya berkedudukan pingat gangsa.

Pada Sukan SEA Vietnam tahun lalu, Erry yang juga anak kepada bekas jaguh angkat berat negara, Hidayat Hamidon itu membawa pulang gangsa apabila melakukan angkatan keseluruhan 316 kilogram (kg).

Dia juga mengharapkan kesemua lima wakil negara iaitu di Kemboja melakar kejutan nanti.