PEMAIN bahagian serangan Skuad Floorball Lelaki Kebangsaan, Tristan James Desmond mahu Malaysia memperbaiki pencapaian merangkul pingat gangsa di Temasya Sukan Sea Filipina 2019 dengan memenangi emas di Sukan Sea Kemboja pada Mei.
Floorball adalah disiplin sukan berkumpulan dalam dewan baharu yang dipertandingkan buat kali ketiga di Sukan Sea selepas membuat kemunculan sulung pada Temasya Singapura 2015 dan Temasya Filipina pada 2019.
Tristan yang bakal membuat kemunculan ketiga dalam Sukan Sea menyambut Syawal buat kali pertama sebagai seorang Muslim apabila memeluk Islam untuk mendirikan rumah tangga dengan kekasih hatinya tahun lalu.
Dia mendapati agak sukar untuk menjalani latihan terutama pada bulan Ramadan namun dia menjadikan perkara itu sebagai semangat untuk dia membantu negara di temasya dwitahunan itu nanti
“Ianya sukar kerana ini kali pertama saya berpuasa sebagai seorang Muslim. Latihan tanpa meminum air sangat sukar namun saya tetap berlatih seperti biasa dan menganggap ianya adalah sebagai satu cabaran baharu.
“Ketika Aidilfitri pula, saya perlu menjaga pemakanan supaya berat badan tidak naik mendadak selain saya juga melakukan latihan kardio untuk mengekalkan stamina dan juga menjalani latihan di gelanggang dan di gimnasium,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.
Dia yang menyambut Syawal di Kedah menggemari rendang daging dan kini sudah tidak lagi menerima duit raya sebaliknya memberi kepada anak-anak saudara dan kanak-kanak yang datang berkunjung ke rumahnya.
Selepas lebaran, skuad Floorball kebangsaan mempunyai dua minggu sahaja lagi menjelang Sukan Sea dan Tristan akan kembali berlatih selain memastikan dirinya berada dalam keadaan yang baik untuk mewakili negara.
“Selepas raya, kami mempunyai dua minggu sahaja lagi sebelum berlepas ke Kemboja. Oleh itu kami akan berlatih sebanyak mungkin terutama di gimnasium untuk latihan ‘strength and conditioning‘.
“Selain itu saya juga perlu menjaga diri saya supaya berada dalam keadaan terbaik dari sudut fizikal dan mental untuk menghadapi Sukan Sea dengan pingat emas akan menjadi sasaran kami kali ini,” tambahnya.
Sebagai rekod, pencapaian skuad Floorball Lelaki Kebangsaan di Sukan Sea Manila adalah gangsa apabila menewaskan tuan rumah Filipina 7-2 pada aksi penentuan pingat gangsa menyamai pencapaian ketika Floorball mula diperkenalkan di Sukan Sea Singapura pada 2015.