SKUAD olahraga negara yang menghantar penyertaan antara paling ramai dalam sejarah Sukan SEA di Kemboja, mengharapkan potensi yang ada pada atlet muda melakukan kejutan di temasya dwi tahunan itu.
Ketua jurulatih, Mohd Zaki Sadri berkata, kira-kira 50 peratus daripada 65 atlet olahraga adalah atlet baharu yang dihantar untuk tujuan pendedahan dengan sasaran menonjol pada edisi 2027 ketika negara menjadi tuan rumah.
“Dalam kategori A, sudah tentunya membabitkan atlet yang menybumbang pingat emas di Hanoi, jadi mengikut congakan kita atlet seperti Muhammad Irfan Shamsuddin yang juga antara terbaik di Asia, mempertahankan emas dimenangi, begitu juga pemenang emas lalu.
“Manakala atlet muda pula berpeluang melakukan kejutan meskipun kita hanya mensasarkan mereka untuk pendedahan dan mencatat masa peribadi terbaik,” kata Zaki.
Pada temasya di Kemboja, skuad olahraga akan dibarisi 34 atlet di bawah kategori A dan 31 di bawah kategori B.
Mengulas mengenai anak didiknya dari Terengganu, Muhammad Shahrizal Nasharuddin Isham yang akan beraksi buat kali pertama dalam acara lompat jauh, tidak banyak harapan diletakkan Zaki memandangkan atlet berusia 21 tahun itu baru kali pertama menyertai kejohanan temasya.
“Dia tidak memiliki pengalaman apa lagi tidak banyak kejohanan antarabangsa, Cuma saya harapkan Shahrizal melakukan yang terbaik kerana tidak mustahil dia dan atlet baharu lain, melakukan kejutan.
“Shahrizal seorang yang positif, malah kehadiran pemegang rekod kebangsaan acara 400m wanita, Shereen Samson Vallabouy dalam skuad olahraga ke Kemboja, diharap memberi impak positif dan meningkatkan semangat atlet yang kali pertama mengambil bahagian di temasya Sukan SEA.”
Shahrizal yang mennyertai Kejohanan Olahraga Filipina Mac lalu, berjaya membawa pulang pingat emas selepas melakukan lompatan sejauh 7.39m, tewas kepada Alin Gomez dari Filipina yang meraih perak dan atlet Vietnam, Jarry Ubais yang meraih emas dengan catatan 7.84m.
Rizal mempunyai catatan terbaik sejauh 7.48m yang dilakukan pad Kejohanan Olahraga Terbuka Pahang 2021.
Begitupun, Zaki mengakui tidak mudah untuk memperoleh pingat di kejohanan temasya sebegini kerana setiap atlet bersemangat mahu menyumbang pingat buat negara masing-masing, malah catatan masa boleh dianggap tidak penting melainkan pingat.