EMPAT negeri bakal menjadi penganjur bersama bagi Sukan Sea 2027, namun keputusan muktamad mengenainya hanya akan diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri, minggu ini.

Ketika ini, Sarawak, Sabah, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan berada dalam pertimbangan untuk menganjurkan temasya tahunan itu.

Sebelum ini, kerajaan bersetuju untuk menjadikan Sarawak sebagai penganjur bersama Sukan Sea apabila tiba giliran Malaysia menjadi tuan rumah bagi temasya sukan serantau itu pada 2027.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Abdul Rashid Yaakub berkata, pihaknya menyokong keputusan kerajaan yang bersetuju untuk menjadikan Sarawak sebagai penganjur bersama Sukan Sea, apabila tiba giliran Malaysia menjadi tuan rumah bagi temasya sukan itu.

Beliau berkata, penganjuran Sukan SEA di luar Kuala Lumpur bukanlah sesuatu yang asing bagi kerana Malaysia pernah menganjurkan temasya sukan berprestij itu di Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Johor pada edisi 2001.

“Keputusan itu perlu dimuktamadkan pada mesyuarat Jemaah Menteri. Insyaallah kalau tiada aral minggu ini akan dimuktamadkan. Ini petanda baik untuk sukan kita ataupun industri sukan kita, bermakna kita look forward untuk perkara ini.

Stadium Morodok Techo menjadi venue perasmian rasmi Upacara Pembukaan Sukan sea Kemboja 2023 dan pada Temasya Thailand 2025, tiga bandar menjadi tuan rumah iaitu Bangkok, Chonburi dan Songkhla.

“MSN menyokong perkara ini kerana ia juga boleh membantu meningkatkan prestasi atlet kita ke satu tahap lagi,” katanya, pada Majlis Pengumuman Penajaan & Kerjasama Pintar Tourism Malaysia dan Sidang Media Le Tour de Langkawi 2024 di MSN Bukit Jalil.

Engulas lanjut, beliau berkata, kerajaan negeri Sarawak dan Pulau Pinang sudah memberi respon positif dari segi penganjuran bersama dan kewangan selain tidak menolak kemungkinan terdapat beberapa negeri lain turut akan terlibat sama dengan penganjuran temasya sukan berkenaan.

Dalam pada itu Abdul Rashid berkata buat masa ini sebahagian daripada fasiliti yang ada negeri bumi kenyalang itu berada di tahap terbaik untuk penganjuran temasya antarabangsa manakala terdapat juga sebahagianya perlu ditambah baik.

“Mungkin sebahagian lagi fasiliti (di Sarawak), perlu dilihat kembali dan memerlukan penambahbaikan ataupun upgrading sedikit, tapi rasanya tidak memerlukan kos yang banyak kerana kesediaan tempat tempat tersebut sudah mencukupi.

Sabtu lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan bersetuju untuk menjadikan Sarawak sebagai penganjur bersama temasya dwi-tahunan itu apabila tiba giliran negara menjadi tuan rumah pada 2027.

Menurut beliau, keupayaan Sarawak untuk menjadikan Sukan Malaysia (Sukma) 2024 sebagai antara penganjuran temasya sukan yang terbaik yang pernah diadakan, membuatkan beliau bersetuju memberikan tanggungjawab sebagai penganjur bersama Sukan Sea 2027.

Malaysia pernah menjadi penganjur bagi Sukan Sea edisi 2001 dengan penganjuran bersama negeri Johor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan di mana kontinjen negara muncul juara keseluruhan dengan 111 pingat emas.