PRESIDEN Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Dato Sri Dr. Mohamad Norza Zakaria menyatakan bahawa kesungguhan Sarawak untuk menjadi tuan rumah bersama Kuala Lumpur untuk Sukan SEA 2027 nanti sebagai satu petanda yang baik.

Menurut beliau, Sarawak telah menunjukkan komitmen mereka untuk menjadi tuan rumah bersama bagi sukan dwi tahunan Asean itu.

“Saya ada buat kunjungan hormat sebagai Presiden MOM kepada Premier Sarawak untuk membincang mengenai perkara ini bersama Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Tan Sri Dato Sri Dr. Mohamad Norza Zakaria ditemui ketika Majlis Penutup Karnival Hari Olimpik Malaysia di The Exchange TRX

“Alhamdulilah mereka telah bagi komitmen dimana mereka sanggup untuk berkongsi perbelanjaan keseluruhan untuk penganjuran Sukan SEA itu.

“Di peringkat tahap kerja, kami di pihak MOM, kerajaan negeri Sarawak dan KBS telah buat satu konsep untuk pemecahan sukan yang akan dibuat di Semenanjung dan Sarawak.

“Ia akan berlaku insyaallah dan kita harap benda ini dapat dimuktamadkan supaya kita boleh melakukan persiapan yang rapi,” katanya selepas ditemui media dalam satu program di ibu negara.

Pelancaran Pakaian Rasmi Kontinjen Negara ke Paris 2024

Sebelum itu Premier Sarawak iaitu Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata bahawa beliau secara tidak rasmi sudah menyatakan persetujuan Sarawak bersedia menerima pelawaan untuk menganjur bersama Sukan SEA tetapi dengan dua syarat.

Syarat-syarat dia adalah upacara pembukaannya harus dilaksanakan di Kuching dan sebahagian acara sukan juga perlu diadakan di Sarawak sebagai ‘hantaran’ manakala majlis penutupan pula di Kuala Lumpur.

Abang Johari juga berkata, Sarawak bersetuju untuk menjadi hos bersama Sukan SEA 2027 kerana pembangunan belia serta dapat mencungkil bakat sukan dan memupuk kecergasan terkandung di dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang dirangka kerajaan Sarawak.