MAJLIS Sukan Negara (MSN) masih menunggu jawapan daripada beberapa negeri, berkaitan tawaran menjadi tuan rumah bersama Sukan Sea ke-34 pada 2027, selepas Sarawak, Pulau Pinang dan Sabah memberi maklum balas mengenainya.

Ketua Pengarah MSN, Abdul Rashid Yaakub berkata, pihaknya yang menjadi wakil kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam mengumpul maklum balas daripada beberapa negeri dan memberi ruang untuk maklum balas biarpun tarikh akhir jawapan kepada pelawaan diberikan pada Jumaat lalu.

“Kita bagi tempoh sedikit lagi kepada negeri untuk memberi maklum balas kerana setiap negeri ada proses dan tatacara bagi menyampaikan keputusan,” katanya, selepas Majlis Menandatangani Kerjasama antara MSN dan syarikat pengeluar air mineral tempatan, Bubbles O2, di Bukit Jalil.

Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Katanya, ada negeri yang menyatakan keinginan untuk bersama-sama tetapi hanya menjadi menyediakan venue untuk beberapa acara tertentu.

“Ada negeri yang menawarkan menjadi tuan rumah bersama, ada yang mahu anjurkan beberapa acara sahaja, kita akan hantar kertas (cadangan) kepada Jemaah Menteri untuk memutuskan bersetuju atau tidak dengan cadangan ini.

“Persetujuan untuk menjadi tuan rumah ini belum diputuskan lagi dan ketika ini kita (MSN) sedang menyediakan segala bentuk maklumat dan perincian agar makluman dan perincian ini dipertimbang oleh Jemaah Menteri, baik dari segi kos, acara sukan akan dianjurkan di mana, negeri mana dan sebagainya.

“Semua ini kita sedang sediakan dan akan diangkat ke mesyuarat Jemaah Menteri, kemudian,” ujar Abdul Rashid lagi.

Katanya, kertas cadangan yang sedang disiapkan itu sudah siap 80 peratus hingga 90 peratus dan hanya menunggu maklum balas daripada beberapa negeri sahaja lagi.

Pada 2 Mei lalu, Hannah mengumumkan bahawa KBS meneliti cadangan Sarawak untuk menjadi tuan rumah bersama bagi penganjuran Sukan Sea 2027.

Selepas itu, beliau mengumumkan bahawa Pulau Pinang berminat untuk menjadi penganjur bersama dan MSN telah diarahkan bagi menyiapkan kertas kajian impak penganjuran Sukan Sea 2027 kepada Kabinet sebelum Sukan Olimpik 2024 di Paris bermula, 26 Julai ini.

Namun difahamkan, Pulau Pinang hanya menawarkan untuk menyediakan beberapa venue pertandingan bagi acara tertentu dan bukannya bertindak sebagai penganjur bersama.

Mengenai maklum balas daripada Sabah pula, Abdul Rashid tidak bersedia berkongsi bentuk cadangan daripada kerajaan Negeri Di Bawah Bayu itu.