MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengambil inisiatif ‘turun padang’ meninjau sesi latihan Kontinjen Malaysia di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil pada malam Selasa.

Dalam sesi itu, beliau dibawa melihat sendiri persiapan atlet pedang, karate, menembak, olahraga, silat, judo dan kurash menjelang temasya Sukan Sea Hanoi 2021 yang bakal menyingkap tirainya tidak lama lagi.

“Saya cukup berbangga dengan semangat juang yang dipamerkan oleh atlet-atlet negara. Mereka tetap bersemangat dan cukup gigih menjalani latihan di bulan Ramadan.

“Dengan usaha dan pengorbanan ini, saya doakan agar Kontinjen Malaysia akan beroleh kejayaan yang gemilang! Ayuh berjuang #DemiMalaysia,” ciapnya menerusi Twitter.

 

Melihatkan kepada kesungguhan para atlet berlatih sepanjang masa di MSN, Ahmad Faizal percaya sasaran mengutip pingat dapat dijelmakan oleh mereka yang mengambil bahagian.

“Sasaran kita pastinya kilauan pingat di Sukan Sea Vietnam 2021! Teruskan latihan. #DemiMalaysia,” ujarnya lagi.

Sukan Sea Hanoi dijadual membuka tirainya pada 12 Mei ini dengan kontinjen negara disertai seramai 864 orang.

Daripada jumlah itu, 589 adalah atlet yang merangkumi 364 lelaki dan 225 wanita. Bakinya adalah 275 pegawai yang merangkumi 222 lelaki dan 53 wanita.