KETUA Kontinjen (CDM) ke Sukan SEA 2023, Datuk Mohd Nasir Ali memaklumkan bahawa pasukan bola keranjang wanita kebangsaan bakal mendapatkan khidmat tukang urut khas sempena temasya di Kemboja kali ini.

Jelas beliau, pemain sedang berada dalam fasa terakhir latihan intensif dan fokus kepada taktikal dan arahan yang diberikan jurulatih mereka.

“Mereka sedang berada dalam fasa latihan intensif. Saya juga dimaklumkan mereka akan membawa tukang urut sendiri,” jelasnya.

Secara umumnya, beliau berpuas hati dengan perkembangan positif yang dipersembahkan pemain semasa sesi latihan di Wisma Persatuan Bolasepak Keranjang Malaysia (MABA) pada Jumaat.

“Secara keseluruhan, saya berpuas hati. Dari segi strategi dan taktiknya, mereka sudah ada, cuma ingin menggilap sedikit yang masih longgar,” katanya.

Biarpun ada kedengaran ura-ura ingin membawa masuk pemain import ke dalam skuad kebangsaan, namun ianya masih dalam perbincangan MABA.

Beliau berpendapat seandainya Malaysia berjaya mendapatkan khidmat beberapa pemain import, ia akan meningkatkan mutu bola keranjang pada masa hadapan.

“Ada usaha oleh MABA untuk memasukkan pemain naturalisasi. Kita tengok Filipina banyak pemain naturalisasi. Ada pemain dari Amerika pun. Kalau nak diikutkan jika ada satu dua pemain naturalisasi ianya akan membantu pasukan untuk bertambah baik,” ujarnya.