TEMPOH waktu persiapan atlet yang cukup diyakini mampu menghadirkan sinar buat kontinjen negara memperbaiki pencapaian lalu di Hanoi.

Chef de Mission (CDM) ke Sukan Sea Kemboja, Datuk Mohd Nasir Ali berkata, atlet negara ke Temasya Sukan Sea Kemboja 5 hingga 17 Mei depan bukan sahaja mahu memperbaiki kedudukan di Hanoi, malah mahu mengatasi kutipan pingat yang diraih tahun lalu.

“Sukan Sea Kemboja… kita cuba anggap sebagai kesinambungan Sukan Sea Hanoi yang baru diadakan tahun lalu. Dari segi persiapan atlet, sepatutnya mereka lebih bersedia dan mencapai capai tahap lebih baik dari Hanoi.

“Pergerakan serta latihan sudah kembali seperti biasa, jadi saya dan rakan-rakan percaya dapat meraih pencapaian lebih baik daripada Hanoi. Bukan sahaja dari jumlah pingat tetapi juga dari segi kedudukan,” kata Mohd Nasir.

Bagi mencapai hasrat itu, Mohd Nasir berkata, beliau dan dua timbalan akan memastikan wujud komunikasi berterusan antara mereka dan barisan atlet dalam usaha memantau perkembangan atlet dan pegawai.

“Jadi, Insya-Allah dengan sokongan dari MSN (Majlis Sukan Negara) dan ISN (Institut Sukan Negara) kami yakin bahawa kita akan dapat apa yang kita capai dari sebelum ini,” katanya.

Pada Sukan Sea Hanoi tahun lalu, Malaysia diwakili 612 atlet membabitkan 37 jenis sukan daripada 40 yang dipertandingkan.

Malaysia mengakhiri saingan di kedudukan keenam keseluruhan dengan mengutip 39 pingat emas, 45 perak dan 90 gangsa dengan tuan rumah, Vietnam muncul juara selepas meraih 204 emas, 121 perak dan 115 gangsa

Dalam pada itu, Nasir mengakui terdapat beberapa kekangan dihadapi pasukan negara selepas beberapa sukan yang diletakkan prospek emas digugurkan di temasya kali ini.

Begitupun, beberapa acara sukan seperti Jetski, Sportsdance dijangka mampu membantu kontinjen menambah pingat pada temasya itu.

Katanya, sasaran pingat emas untuk Sukan Sea Kemboja akan diumumkan bulan depan selepas pihaknya mengadakan mesyuarat dengan semua pemegang taruh sebelum dimuktamadkan kelak.