SUKAN SEA yang asalnya diwujudkan dengan nama Sukan SEAP pada 1959 harus disuntik nafas baharu untuk kekal relevan dengan trend sukan terkini.

Bukan sahaja dari sudut penganjuran, penyertaan dan persembahan prestasi tetapi juga dari segi mengangkat martabat dan minda semua negara Asia Tenggara ke arah melonjakkan standard sehingga Olimpik.

Dengan pengalaman yang sedikit membuat liputan temasya dwitahunan ini bermula 1993 di Singapura, Chiangmai (1995), Jakarta (1997), Brunei (1999), Kuala Lumpur (2001) dan Hanoi (2003) selain berkesempatan meninjau perkembangan di Hanoi sekali lagi baru-baru ini, penulis berasakan bahawa Sukan SEA akan sekadar menjadi platform mendabik dada bagi negara tuan rumah menunjukkan kekuatan.

Secara keseluruhannya, ia tidak membantu negara peserta apabila berita bahawa seorang atletnya menyertai kempen kelimanya dan kelima-limanya menuai emas. Ia sekadar catatan peribadi tanpa membawa makna dari sudut kedudukan di medan antarabangsa.

Sebagaimana Vietnam mengungguli pungutan emas dengan menghimpun 158 emas pada edisi 2003, negara tuan rumah lebih garang kali ini dengan mengumpul 206 emas untuk muncul juara keseluruhan seperti dijangka.

Bagi Malaysia pula, kutipan 39 emas dengan kedudukan di tangga keenam keseluruhan agak mengecewakan.

Walaupun bertemakan For A Stronger South East Asia, temasya ke-31 di Hanoi tidak melambangkan identiti dan kekuatan secara bersama untuk Asia Tenggara dibawa ke pentas dunia.

Penulis berasakan tiba masanya Sukan SEA dihadkan usia ke Bawah 23 tahun, sebagaimana bola sepak lelaki.

Selain itu, Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) harus mengkaji semula Piagam SEAGF yang memberi kuasa kepada negara tuan rumah untuk menggugurkan acara yang mereka tidak gemar, sebaliknya menyenaraikan acara yang juga kekuatan mereka sebagai usaha paling mudah mengumpul pingat.

Peraturan 34 dalam Piagam SEAGF memperuntukkan bahawa sekurang-kurangnya 22 jenis sukan dipertandingkan dalam mana-mana edisi Sukan SEA, dengan dua disiplin – olahraga dan renang – diletakkan sebagai Kategori 1 yang wajib dipertandingkan.

Minimum 14 jenis sukan daripada 35 yang diletakkan dalam Kategori II, iaitu sukan yang dipertandingkan dalam Sukan Asia dan Sukan Olimpik.

Daripada 15 jenis sukan tradisional seperti arnis dan sepak bulu ayam yang diletakkan dalam Kategori 111, negara hos juga diberi hak untuk memilih maksimum lapan jenis sukan.

Ini mengingatkan penulis memori mencuba bermain da cau atau sepak bulu ayam pada 2003 kerana ketika itu acara berkenaan kali pertama diperkenalkan pada Sukan SEA.

Dalam rumusannya, Majlis Sukan Negara (MSN) mengkategorikan penyertaan sukan mengikut tiga kategori – cemerlang, memuaskan, sederhana dan gagal.

Bola sepak lelaki dan futsal lelaki antara sukan yang diletakkan dalam kategori Gagal, termasuk bola keranjang, memanah, pencak silat, tenpin bowling dan mendayung berdasarkan bengkel untuk sasaran pingat tahun lalu.

Yang menarik daripada 39 emas yang dihimpun kontinjen negara, 15 daripadanya disumbang oleh atlet yang kali pertama tersenarai ke Sukan SEA.

Bagi perspektif Malaysia, elok andainya majoriti atlet muda dikirim bertanding manakala Majlis Olimpik Malaysia (MOM) memujuk SEAGF untuk mengubah dasar agar lebih relevan dengan keadaan semasa.