LEBIH kurang sebulan sebelum Sukan Sea Hanoi pada 12 hingga 23 Mei ini, skuad wushu negara berdepan cabaran untuk membuat penyesuaian dengan pertukaran peraturan pertandingan.

Presiden Persekutuan Wushu Malaysia (WFM) Datuk Chong Kim Fatt berkata, peraturan pertandingan 2019 yang ditetapkan dalam temasya dwitahunan itu sebelum ini telah ditukar kepada peraturan pertandingan 2015.
“Pihak kami menerima pemakluman berhubung pertukaran tersebut pada minggu lepas berikutan ada pengadil dari China tidak dapat keluar dari negaranya untuk mengadili sukan wushu di Vietnam nanti.

“Sedangkan skuad wushu sedia ada ini sudah diberi pendedahan untuk menyesuaikan diri dengan peraturan 2019 yang lebih bertaraf tinggi,” katanya kepada Bernama di Majlis Sukan Negara (MSN) pada Sabtu.

Beliau berkata, susulan pemakluman itu, pihaknya kini giat membuat persiapan rapi untuk menyesuaikan atlet yang bakal bertanding dengan peraturan tersebut.

WFM akan menghantar lima atlet dalam Kategori A membabitkan Clement Ting Su Wei dan Yeap Wai Kin (Changquan & Daoshu + Gunshu Lelaki); Tan Zhi Yan (Taijiaquan & Taijijian Lelaki); Sydney Chin Sy Xuan (Taijiquan & Taijijian Wanita); dan Kelvin Teng Kai Wen (Sanda 56kg Lelaki).

Malaysia turut menghantar atlet bagi Kategori B membabitkan Calvin Lee Wai Leong (Nanquan, Nandao & Nangun Lelaki); Mandy Cebelle Chen (Taijiquan & Taijijian Wanita); Pang Pui Yee (Changquan; Jianshu & Qiangshu Wanita); Lee Jia Rong (Changquan & Daoshu + Gunshu Wanita); Chong Jian Hwa (Sanda 65kg Lelaki) dan Vicky Hwa Chang (Sanda 70kg Lelaki).

Atlet Kategori A ditanggung sepenuhnya oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) manakala bagi Kategori B, kos akan ditanggung oleh atlet terbabit dan akan dipulangkan jika memenangi pingat.