RATU boling padang negara, Aleena Nawawi, 25, kini bersiap sedia untuk mempamerkan kemampuannya di SUKIPT edisi ke-6 yang bakal diadakan di Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok, Kedah.
Aleena berkongsi perasaannya tentang mewakili Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan cabaran yang diharungi menjelang kejohanan universiti tersebut.
Dia turut meluahkan rasa bangga dan teruja mewakili UiTM kerana ini merupakan pentas kejohanan SUKIPT yang terakhir untuk beliau.
“Perasaan seronok sebab ini pertama dan yang terakhir kejohanan SUKIPT, tetapi saya merasa sedikit tertekan kerana Pusat Sukan UiTM akan selalu tengok keputusan perlawanan nanti dan pihak universiti meletak target kami untuk meraih tujuh pingat emas keseluruhan dan dua pingat emas dari acara boling padang,” ujarnya kepada FLASH SUKAN.
Menurut Aleena, pengalaman sebagai juara dunia memberikan kelebihan dalam persiapan untuk SUKIPT dan telah meningkatkan keyakinannya dan memberikan pemahaman yang lebih mendalam tentang teknik dan strategi yang diperlukan.
“Pengalaman di peringkat antarabangsa sangat-sangat membantu dalam perlawanan. Dengan pengalaman yang saya ada ni, saya boleh membuat keputusan dengan pantas semasa perlawanan dan dapat adaptasi perlawanan tersebut.
“Pengalaman tersebut memberi saya keyakinan dan pemahaman yang lebih mendalam tentang teknik dan strategi serta Ia membantu saya untuk lebih bersedia dan yakin menghadapi persaingan di SUKIPT,” tambahnya.
Berbicara mengenai matlamat pasukannya, Aleena menegaskan bahawa mereka telah menetapkan sasaran untuk meraih dua pingat emas.
Dengan persiapan yang rapi dan latihan yang intensif, beliau yakin bahawa pasukan mereka mampu mencapai kejayaan yang diidamkan.
ARTIKEL BERKAITAN : Aleena optimis kekalkan kejuaraan di Boling Padang Asia, Thailand
“Target kami adalah untuk meraih emas. Kami telah bersiap sedia dengan baik dan berlatih keras untuk mencapai matlamat tersebut.
“Saya yakin dengan usaha dan kerjasama pasukan, kami boleh mencapai kejayaan yang diinginkan,” katanya.
Dalam menilai tahap persaingan di SUKIPT, Aleena percaya tahap persaingan di peringkat universiti tetap tinggi walaupun sudah berpengalaman di peringkat dunia.
“Persaingan di SUKIPT kali ini memang sengit, kerana wakil dari universiti lain juga ada pemain kebangsaan yang akan beraksi seperti Haikal Roslan dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) , Ain Nur Najwa dari Universiti Putra Malaysia (UPM), jadi persaingan untuk merebut pingat emas akan jadi lebih mencabar” ujarnya.
Dengan semangat dan dedikasi yang tinggi, Aleena Nawawi pastinya akan menjadi tumpuan utama di SUKIPT 2024.
Kejayaannya di peringkat dunia dan tekadnya untuk meraih kejayaan bersama UiTM menjadikannya contoh cemerlang bagi atlet sukan negara.