UNIVERSITI Teknologi Mara (UiTM) sekali lagi menghampiri gelaran juara bertahan dalam acara bola sepak di Kejohanan Sukan Institusi Tinggi (SUKIPT) 2024 apabila berjaya menewaskan lawannya, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) di separuh akhir dengan kemenangan 3-0.
Kapten pasukan UiTM, Haikal Haziq, meluahkan rasa puas hati terhadap pencapaian yang diperoleh mereka sehingga berjaya membuahkah hasil pada minit akhir permainan.
“Perasaan saya sangat berpuas hati selepas peroleh kemenangan yang bermakna ini, kerana dapat meletakkan pasukan uitm ke pentas akhir di kejohanan ini,” katanya kepada FLASH SUKAN.
Beliau juga menyifatkan kemenangan ini adalah atas faktor keputusan jurulatih mereka yang membuat beberapa pertukaran pemain sehingga berjaya membawa impak positif kepada pasukan.
“Bagi saya faktor utama kemenangan ini adalah terletak pada keputusan jurulatih kami yang membuat beberapa pertukaran pemain yang fresh leg sehingga membawa impak positif kepada pasukan sehingga membuahkan hasil dengan jaringan 3-0 di masa tambahan,” ujarnya.
Beliau turut memuji rakan sepasukannya yang beraksi dengan cemerlang sepanjang perlawanan, dan berjaya menerapkan strategi dengan baik meskipun pada awalnya mereka sukar untuk menembusi pertahanan lawan.
“Pasukan kami bermain dengan baik untuk keseluruhan perlawanan meskipun pada awalnya kami agak sukar untuk membolosi tiang gol pihak lawan kerana mereka sangat disiplin dari segi pertahanan.
“Strategi kami dalam perlawanan ini sama sahaja seperti perlawanan sebelum ini cuma kami lebih menekankan rentak perlawanan dengan lebih laju.” katanya lagi.
Haikal, yang turut menjadi penjaring untuk pasukan UiTM menegaskan betapa pentingnya sesi pemulihan sebelum menghadapi perlawanan akhir.
“Kami sepasukan perlu menjalani recovery dengan baik untuk mengekalkan momentum perlawanan separuh akhir tadi untuk bawa ke peringkat akhir,
“Dengan bantuan jurulatih dan pegawai kami sepasukan akan melakukan sehabis baik hingga wisel penamat dan sekaligus mengekalkan kejuaraan SUKIPT edisi kali ini.” tegasnya.
Haikal turut merakamkan penghargaan kepada penyokong yang tidak pernah berhenti memberikan sokongan sama ada di rumah atau yang hadir di stadium.
“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada para penyokong yg tidak henti terus menyokong kami sama ada di rumah ataupun yg sanggup hadir ke UUM.” katanya lagi.
Dalam perlawanan tersebut, UiTM memecah kebuntuan pada minit ke 93 menerusi jaringan Haziq Deli, sebelum dua lagi gol disumbangkan oleh Haikal Haziq pada minit ke 101 dan penalti Arif Imran pada minit ke 119.
UiTM akan berdepan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di pentas akhir yang dijadualkan berlangsung malam esok.
FOTO : UiTM UNITED