PASUKAN Sofbol lelaki Universiti Teknologi MARA (UiTM) berjaya merampas takhta kejuaraan dalam acara Sofbol Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2024 selepas menewaskan pasukan Politeknik Malaysia dengan keputusan 3-1 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah.
Kejuaraan ini mengukuhkan kedudukan UiTM sebagai kuasa besar sofbol SUKIPT, setelah kali terakhir muncul juara pada edisi 2018. Manakala, pasukan Politeknik Malaysia yang merupakan juara SUKIPT 2022 memberikan saingan sengit, dengan kedua-dua pasukan menampilkan pemain-pemain berpengalaman dan berbakat.
Perlawanan akhir yang berlangsung pagi tadi menyaksikan UiTM lebih bersedia selepas mencatat kemenangan 2-1 ke atas musuh tradisi mereka, UPSI, dalam perlawanan separuh akhir. Kemenangan ini memberi keyakinan tambahan kepada UiTM untuk berhadapan Politeknik Malaysia dalam perlawanan penentuan emas.
Pengurus pasukan Sofbol UiTM, Mohd Saiful Rahmat, mengakui bahawa persiapan rapi sejak awal tahun 2024 menjadi kunci kejayaan pasukan kali ini.
“Pemain-pemain kita telah didedahkan kepada pelbagai kejohanan terbuka, sama ada di peringkat universiti atau luar. Emas ini bukan sahaja mengembalikan takhta kita, tetapi juga menyumbang kepada kejayaan Kontinjen UiTM secara keseluruhan,” katanya.
Kejayaan pasukan sofbol lelaki UiTM ini juga melengkapkan pencapaian cemerlang Kontinjen UiTM, yang turut dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan SUKIPT 2024.
UiTM menamatkan kejohanan dengan kutipan 38 pingat emas, 20 perak, dan 39 gangsa, sekali gus mengesahkan kedudukan mereka sebagai institusi terbaik dalam kejohanan kali ini.
SUKIPT 2024 menyaksikan persaingan sengit dari pelbagai institusi pengajian tinggi di Malaysia, tetapi UiTM berjaya menunjukkan keunggulan mereka dalam pelbagai acara, termasuk sofbol yang menjadi penentu kejuaraan keseluruhan.