TURUN sebagai juara bertahan dalam acara bola sepak di Kejohanan Sukan Institusi Tinggi (SUKIPT) 2024, pasukan Bola Sepak Universiti Teknologi Mara (UiTM) kini bersiap sedia menghadapi cabaran besar yang menanti mereka.

Diketuai oleh Ketua Jurulatih Mohd Yazli Yahya, skuad UiTM berhadapan dengan tekanan tinggi daripada pengurusan, walaupun pasukan kali ini dibarisi pemain-pemain baru yang bersemangat waja.

“Kami sedar bahawa pengurusan meletakkan harapan yang sangat tinggi terhadap kami, namun majoriti pemain kali ini adalah muka baru. Ini merupakan cabaran utama yang perlu kami hadapi,” kata Yazli kepada FLASH SUKAN.

Menggalas status sebagai juara bertahan, Yazli, 41,  mengakui bahawa tekanan pasti dirasai oleh para pemainnya.

“Sudah pasti, turun sebagai juara bertahan sedikit sebanyak akan memberi tekanan kepada pemain. Namun, pasukan UiTM tetap bertekad untuk mempertahankan gelaran juara ini,” tegasnya.

UiTM diramal mampu mampu mara ke perlawanan akhir SUKIPT 2024.

Walaupun pasukan UiTM dibarisi oleh pemain-pemain yang berkualiti, Yazli menyatakan bahawa pengalaman untuk kejohanan besar seperti SUKIPT adalah sesuatu yang baru bagi ramai di antara mereka.

Justeru, fokus utama pasukan adalah untuk bermain dengan baik dalam setiap perlawanan dan mengelakkan kecederaan yang boleh menjejaskan prestasi.

“Kami tidak memberi tumpuan kepada kelebihan tertentu kerana format karnival ini tidak memberi kelebihan kepada mana-mana pasukan. Kami hanya lebih fokus untuk bermain dengan baik dan memastikan tiada kecederaan,” ujarnya lagi.

Sebagai rekod, pasukan  UiTM pada SUKIPT kali ini dibarisi para pemain UiTM United serta diperkuatkan dengan dua pemain dari pasukan Malaysian University, Kuala Lumpur City FC B-19 (1) dan Kelantan FA (1) yang merupakan pelajar UiTM.

FOTO : UITM UNITED