PEGAWAI Belia Sukan Kanan Universiti Putra Malaysia (UPM), Muhamad Malik Ahmad Tobias menyatakan keyakinan teguh untuk mempertahankan gelaran juara kali ketiga berturut-turut dalam Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) yang akan berlangsung di Universiti Utara Malaysia (UUM) nanti.

Justeru, dia mendedahkan bahawa UPM telah mensasarkan sebanyak 32 pingat yang akan dicapai pada edisi kali ini, dengan harapan sukan tambahan mampu menyumbang kepada pencapaian lebih baik.

Tambah lagi, persiapan kontinjen untuk temasya SUKIPT kali ini dianggap begitu rapi kerana telah bermula sejak awal tahun ini. Meskipun perkampungan sukan diadakan agak lewat akibat cuti semester dan musim peperiksaan, pasukan tetap menjalani persediaan terbaik.

Sekitar Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen UPM ke SUKIPT 2024.

“Kami telah memulakan persiapan sejak awal tahun, walaupun tidak secara berterusan kerana ia bergantung kepada jadual program dan kejohanan terdahulu. Perkampungan sukan kali ini diadakan sedikit lewat kerana faktor cuti semester dan peperiksaan pelajar baharu,” katanya.

Muhammad Malik menekankan bahawa tempoh persiapan dua minggu sebelum SUKIPT adalah mencukupi bagi kebanyakan sukan. Namun, beberapa sukan yang mendapat peruntukan khusus telah memulakan latihan lebih awal.

Majlis berlangsung di Akademi Sukan UPM Serdang pada Selasa.

Meskipun mempunyai kekurangan daripada segi tempoh latihan, namun kontinjen UPM jelas mempamerkan aura juara, dahagakan nakhoda kejuaraan yang telah dipegang musim lalu.

Sementara itu, Malik turut mengakui bahawa UPM akan menerima cabaran besar untuk SUKIPT kali ini kerana institusi lain seperti Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dilihat mahu merapatkan jurang dengan pencapaian institusinya.

“Kami sedar akan cabaran hebat dari rakan-rakan IPT lain seperti UiTM dan UPSI, tetapi kami mempunyai strategi tersendiri untuk bersaing. Fokus kami adalah pada acara individu seperti olahraga dan sukan tempur untuk menambah koleksi emas,” ujarnya.