NG Tze Yong membantu kontinjen Johor memungut pingat emas pada hari terakhir temasya, apabila menang ke atas rakan sepelatih kebangsaan, Leong Jun Hao dari Wilayah Persekutuan, dalam acara akhir badminton perseorangan lelaki Sukan Malaysia XX (SUKMA) hari ini.
Pilihan utama kejohanan itu bagaimanapun, tidak diberi jalan mudah apabila dipaksa bermain rally, malah mata diperoleh kedua-dua pemain saling bertukar ganti.
Namun, set pertama milik Jun Hao yang menang 21-18.
Tze Yong bangkit dengan kemenangan 12-19, 21-12.
“Perlawanan akhir ini tidak mudah bagi saya, Jun Hao betul-betul berikan tekanan yang baik. Dia bermain permainan pantas pada set pertama. Bagaimanapun, saya sangat gembira kerana memenangi emas buat Johor,” kata Tze Yong.
Sementara itu, Jun Hao yang juga pilihan kedua kejohanan menyuarakan rasa kecewa, kerana gagal meraih emas pada penampilan terakhir SUKMA.
“Memang kecewa, sudah menang set pertama. Pada set kedua, Tze Yong bertahan dengan baik menyebabkan saya tidak dapat menyainginya pada set ketiga,” kata Jun Hao.