PELUMBA basikal trek wanita Kedah, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri terus menguasai Velodrom Nasional Malaysia untuk meraih pingat emas keempat peribadinya menerusi acara keirin dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2022 pada Khamis.

Pelumba kebangsaan berusia 19 tahun itu dilihat tidak berdepan sebarang masalah mahupun tekanan untuk bersaing dengan lima pelumba lain dengan menamatkan perlumbaan dalam tempoh 12.027 saat (s).

Perak pula dimenangi pelumba Pulau Pinang, Nurul Aliana Syafika Azizan dan gangsa menjadi milik Yong Ann Yii dari Selangor.

Disebalik kejayaan diraih, Nurul Izzah tetap mahu memperbaiki segala kelemahan yang ada untuk terus mencapai kejayaan.

“Saya bersyukur untuk satu lagi pingat emas ini dan berharap selepas ini boleh tambah baik lagi dalam acara lain pula.

“Saya pun tak jangka boleh dapat nombor satu sebab ruang dah sempit di penghujung perlumbaan tadi. Tapi, apa yang saya fikir adalah untuk lolos saja,” tegasnya yang turut meraih emas menerusi acara 500 meter ujian masa, acara pecut dan pecut berpasukan.