KONTINJEN Johor memecah dominasi Terengganu dalam sukan berbasikal trek apabila berjaya merangkul tiga daripada empat emas yang dipertandingkan dalam acara berbasikal Sukma 2022.

Dalam aksi akhir di Velodrom Nasional pada Isnin, Johor yang sebelum ini menguasai acara lebuh raya dengan lima pingat emas menambah sebutir lagi pingat emas menerusi acara 4,000 meter kejar mengejar berpasukan lelaki.

Pada aksi akhir itu, gandingan Chan Jian Le, Mohamad Faiz Mohd Hatta, Muhammad Nur Aiman Rosli dan Zulhelmi Zainal memenangi emas dengan catatan masa 4 minit 11.121 saat mengatasi kuartet Terengganu hampir empat saat ditangga kedua.

Kuartet 4km berpasukan Johor

Tidak cukup dengan kejayaan itu, lagu Bangsa Johor sekali lagi berkumandang selepas kuartet wanita pula yang dibarisi Khairunnisa Aleeya Saifulnizam, Noormastura Norman, Nur Syafika Natasha Kadir dan Siti Nur Adibah Akma Mohd Fuad menang emas dengan catatan 4:47.317saat mengatasi juga kuartet dari Terengganu yang ketinggalan hampir dua saat dibelakang.

Tambah manis, kuartet wanita ini berjaya memecahkan rekod kebangsaan sebanyak dua kali pada sesi kelayakan dan juga pada aksi final untuk melengkapkan hari gemilang Johor dalam acara ini.

Seakan tidak cukup dengan dua emas, skuad berbasikal trek Johor menggegar lagi velodrom menerusi pelumba kebangsaan, Muhammad Ridwan Sahrom yang memenangi emas menerusi acara pecut 200 meter menewaskan pelumba Kedah, Mohamad Fariz Haikal Mohamad Kadir dengan keputusan 2-1.

Kuartet wanita Johor

Empat lagi acara akhir bakal berlangsung esok di Velodrome Nasional dan Johor pastinya mahu menambah bilangan emas sekaligus muncul kuasa baharu berbasikal Malaysia.