DUA calon pilihan untuk memenangi pingat emas acara bola jaring Sukma 2022, Wilayah Persekutuan dan Johor tidak mempunyai masalah untuk memenangi perlawanan pertama masing-masing dalam aksi di Stadium Juara Bukit Kiara.

Wilayah Persekutuan mudah membenam cabaran Kedah 69-26 dalam Kumpulan A manakala Johor pula menang keatas Sabah 66-32 dalam aksi Kumpulan B yang berlangsung pada sebelah pagi.

Dibarisi ramai pemain kebangsaan, Wilayah Persekutuan tidak berdepan masalah mencatat kemenangan dengan Putri Intan Balqis cemerlang menjaringkan 33 mata manakala baki 36 mata lagi disumbangkan oleh Norsolieha Alieya, Hidayatul Akhma, Khairul Najiha Iman dan Nordiyanah Sabadinee.

 

Di kem Johor pula, Athekah Ammalia mengetuai serangan pasukan dan berjaya menjaringkan 41 mata dari 45 percubaan dengan 25 mata lagi dijaringkan oleh Nuraina Raziani, Farwiza Fauzi dan Azilina Aziz.

Kemenangan ini meletakkan Wilayah Persekutuan dan Johor selangkah ke suku akhir kerana Kumpulan A dan B hanya dihuni tiga pasukan dengan Wipers akan berhadapan Pulau Pinang dan Johor akan bertemu Negeri Sembilan untuk melengkapkan aksi kumpulan.

Aksi Kumpulan C pula menyaksikan Pahang menewaskan Perak 65-60 dengan kedua-dua penjaring utama, Maisarah Afandi menjaringkan 63 mata dan Khairunnisa Nazri membalas 54 mata dalam aksi yang cukup dramatik.

Kelantan dan Melaka juga mempamerkan aksi menarik sebelum Kelantan menang 39-37 dengan 25 yang disumbangkan Nurhayani Roslee buat Melaka gagal mengekang gandingan penyerang Kelantan, Suraya Hani dan Tengku Farah Anis yang menyumbang 31 mata.

Aksi Terengganu menentang Sarawak

Selangor dan Terengganu memulakan aksi Kumpulan D dengan langkah kanan apabila menang ke atas lawan masing-masing untuk mencerahkan peluang ke suku akhir.

Nazrah Solehah dan Ellisa Hannan bergabung menjaringkan 58 mata untuk membantu Terengganu menewaskan Sarawak 59-46 dengan trio serangan Sarawak perlu memperbaiki penyudah bagi memburu kemenangan dalam perlawanan seterusnya.

Selangor menang mudah keatas Perlis 86-21 untuk mengungguli Kumpulan D dengan 79 mata disumbangkan oleh trio penyerang, Siti Norfatihah Radin, Syasya Amalina dan Ruuvethra Devi sertai dibantu pemain kebangsaan, L.Karishma.

Enam lagi perlawanan bakal berlangsung esok untuk menentukan siapakah empat pasukan yang bakal layak ke suku akhir untuk merebut kejuaraan Sukma 2022 sekaligus merangkul pingat emas.