JOHOR meletakkan sasaran untuk layak ke separuh akhir dalam acara bola jaring pada kejohanan Sukma 2022 yang bakal membuka gelanggang pada Isnin.
Meskipun turun sebagai naib juara pada edisi Sukma 2018, skuad bola jaring Johor lebih berhati-hati dalam meletakkan sasaran kali ini kerana dibarisi pemain-pemain muda yang berbakat.
Presiden Persatuan Bola Jaring Johor, Alwiyah Talib yakin dengan kemampuan pasukan kali ini meskipun banyak muka-muka baharu dan yakin skuad Johor mampu melangkah ke separuh akhir.
Namun dalam pada yakin terhadap skuad Johor namun Alwiyah tetap mahu para pemain bersedia untuk menghadapi kesemua perlawanan yang bakal ditempuhi di Stadium Juara Bukit Kiara dan dia melabel Wilayah Persekutuan sebagai pasukan pilihan.
“Secara peribadi saya mensasarkan empat tempat terbaik buat pasukan Bola Jaring Johor pada Temasya Sukma kali ini kerana kami banyak dibarisi pemain muda dengan kesemua pasukan juga dalam keadaan yang baik dan bersedia.
“Wilayah Persekutuan sudah tentu menjadi pilihan untuk muncul juara kerana mereka dibarisi ramai pemain dari skuad kebangsaan tetapi Johor dijangka memberikan saingan.
“Selain Wilayah Persekutuan, Alwiyah turut memberi gambaran bahawa Perak juga tidak boleh dipandang mudah kerana mereka juga mempunyai pemain berpengalaman terutamanya yang bermain di Netball Super League (NSL).
Johor bakal memulakan acara Bola Jaring pada Isnin bertemu Sabah dalam aksi Kumpulan B sebelum melengkapkan peringkat kumpulan bertemu Negeri Sembilan pada Selasa.