SKUAD Wilayah Persekutuan dan Johor menepati ramalan apabila mudah layak ke suku akhir acara bola jaring Sukma 2022 selepas menewaskan lawan masing-masing dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Juara, Bukit Kiara.

Selepas mencatat kemenangan pertama pada Isnin, kedua-dua pasukan pilihan ini sekali lagi memenangi aksi kedua dan muncul juara kumpulan dan menanti lawan di peringkat suku akhir.

Wilayah Persekutuan mudah membenam cabaran Pulau Pinang 69-28 manakala Johor pula sedikit bergelut pada peringkat awal sebelum menang 46-29 keatas Negeri Sembilan.

Skuad bola jaring Wilayah Persekutuan.

Ketua Jurulatih Johor, Fariza Mesnan gembira dengan kejayaan layak ke suku akhir ini dan sudah melakukan persiapan rapi termasuk memperbaiki beberapa kelemahan yang ada pada pasukan kendaliannya itu.

“Sudah pasti kami akan lakukan persiapan yang rapi untuk bermain di suku akhir. Dalam perlawanan peringkat kumpulan, ada beberapa taktikal yang perlu diperbaiki terutama sekali pada bahagian penyerang.

“Walaubagaimanapun, kesemua pemain telah menunjukkan prestasi yang baik seperti yang telah dirancang dan kini bersedia berhadapan dengan siapa pun lawan kami di suku akhir,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.

Dalam perlawanan lain, Perak kembali ke landasan kemenangan selepas menewaskan Melaka 77-38 dengan Pahang mengukuhkan kedudukan di tangga teratas Kumpulan C selepas mengatasi Kelantan 68-30.

Kumpulan D pula menyaksikan Perlis tewas kepada Sarawak 74-29 sekaligus tersingkir dari temasya. Selangor pula dipaksa bersaing hebat dengan Terengganu sebelum menang 45-43 dalam aksi yang cukup menarik dan dramatik.

Enam lagi pasukan bakal merebut tempat ke suku akhir untuk mengiringi Wilayah Persekutuan dan Johor dengan perlawanan terakhir pada Rabu bakal menjadi tumpuan.