WILAYAH PERSEKUTUAN berjaya mengekalkan pingat emas acara bola jaring Sukma meskipun ditekan hebat oleh Pahang sebelum menang 63-51 pada aksi final Sukma 2022 di Stadium Juara Bukit Kiara.
Walaupun turun sebagai pasukan bukan pilihan, Pahang berjaya mengheret Wilayah Persekutuan untuk bermain hingga wisel penamat dengan bangkit selepas ketinggalan pada babak ketiga.
Namun pengalaman dan kehadiran pemain kebangsaan memberikan kelebihan buat Wilayah Persekutuan untuk emas kelapan dalam sejarah acara bola jaring di Sukma.
Pengendali Wilayah Persekutuan, Norizan Rajab menolak kehadiran pemain kebangsaan dalam skuadnya menjadi faktor kemenangan dan dia juga memberi bayang mahu berehat dari menjadi jurulatih buat Wilayah Persekutuan dan juga Kuala Lumpur.
“Bagi saya pemain negara bukanlah faktor utama tetapi lebih kepada faktor program pembangunan pemain selama empat lima tahun dan memberikan hasilnya kini.
Ini adalah Sukma kelima untuk saya dan saya bangga dengan pencapaian ini dan saya mungkin berehat dan tidak akan meneruskan tugas saya sebagai jurulatih dan mungkin menjadi penasihat kepada jurulatih baharu,” katanya selepas perlawanan.
Sementara itu Jurulatih Pahang, Hapizah Jaafar berpuas hati dengan pingat perak ini dan dapat membuktikan Pahang bakal menjadi kuasa besar Sukma pada edisi 2024.
“Saya berpuas hati dan dapat membuktikan bahawa Pahang adalah pasukan yang tidak boleh dipandang rendah. Kerjasama satu pasukan dan penyudah yang baik oleh Maisarah serta semua bahagian menjalankan tugas masing-masing menjadi faktor kejayaan ini.
“Meskipun tewas, saya percaya kekalahan setelah berjuang dengan sengit amat memuaskan hati dan kami akan kembali lebih kuat pada 2024 dengan 10 daripada 12 pemain sedia ada akan dikekalkan,” katanya.
Puteri Intan Balqis dan Nordiyanah Sabadinee sekali lagi menjadi penjaring utama Wilayah Persekutuan namun saingan sengit yang diberikan oleh Maisarah Afandi di kem Pahang menyaksikan satu pertembungan epik buat para penyokong yang hadir.
Keputusan Akhir Acara Bola Jaring Sukma 2022:
1. Wilayah Persekutuan
2. Pahang
3. Selangor
4. Johor